1MDB: Lukisan bernilai AS$120 juta dijangka diperoleh akhir tahun ini – Azam

PUTRAJAYA – Lapan lagi lukisan bernilai tinggi dengan anggaran melebihi AS$120 juta yang dikaitkan dengan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dijangka berjaya diperoleh semula menjelang hujung tahun ini, kata Tan Sri Azam Baki.

Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) itu berkata, usaha tersebut mampu dicapai hasil kerjasama antara Malaysia dan Amerika Syarikat.

“Kami mencapai satu kejayaan penting dalam mendapatkan semula aset melalui Bantuan Perundangan Bersama dengan Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat (US DOJ).

“Jika semuanya berjalan lancar, kita akan memperoleh lukisan-lukisan ini menjelang hujung tahun ini,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat SPRM di sini, hari ini.

Lukisan-lukisan tersebut adalah seperti berikut:
i. Henri Matisse bernilai AS$52,500;
ii. Alexander Calder bernilai AS$125,000;
iii. Pablo Picasso bernilai AS$1.265 juta;
iv. William H. Bailey bernilai AS$66,250;
v. Raoul Dufy bernilai AS$40,000;
vi. Salvador Dalí (nilai masih dalam pengesahan); dan
vii. Gustave Loiseau (nilai masih dalam pengesahan).

“Secara keseluruhan, nilai lukisan yang masih dalam proses pemulihan dianggarkan sekitar AS$1.7 juta, bersamaan kira-kira RM6.9 juta.

“Kami juga sedang giat berusaha mendapatkan semula hasil jualan sebuah lukisan karya Claude Monet bertajuk Vétheuil au Soleil, yang dijual di Switzerland pada harga kira-kira €25.2 juta atau sekitar RM114 juta.

“Dana tersebut kini dalam proses penyitaan oleh pihak berkuasa Amerika Syarikat, dan usaha pemulihan sedang diteruskan melalui saluran perundangan serta kerjasama dengan pihak berkuasa di Amerika Syarikat dan Switzerland,” katanya.

Beliau menambah, kejayaan mendapatkan semula karya seni ini merupakan sebahagian daripada pencapaian lebih luas Malaysia dalam usaha pemulihan aset 1MDB.

Sebelum ini, dilaporkan empat karya seni bernilai hampir RM800,000 telah dipulangkan kepada Malaysia susulan operasi pemulihan aset oleh SPRM.

SPRM memaklumkan, karya-karya tersebut berjaya dibawa pulang sebagai sebahagian daripada usaha pemulihan aset 1MDB dan kini disimpan dengan selamat di ibu pejabatnya di Putrajaya.

“Karya seni ini adalah sebahagian daripada aset yang diperoleh semula berkaitan penyelewengan dana 1MDB, hasil usaha berterusan dan terselaras kerajaan yang diterajui SPRM, melibatkan kerjasama rapat antara agensi penguatkuasaan domestik dan rakan strategik antarabangsa,” katanya.

Nilai gabungan karya seni tersebut dianggarkan sebanyak RM786,556.25.

Empat karya seni yang dipulangkan adalah seperti berikut: Composition (1953) oleh Joan Miró, Maison de rendez-vous de chasse de Henri IV, Rue St. Vincent, Montmartre (1934) oleh Maurice Utrillo, Étude pour femme couchée (1948) oleh Balthus dan L’Ecuyère et les clowns (1961) oleh Pablo Picasso. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI