Belanjawan Perak 2024: Peruntukan pendidikan bukti komitmen Perak basmi kemiskinan

KUALA KANGSAR – Peruntukan berjumlah RM7.8 juta dalam Belanjawan Perak 2024 kepada Yayasan Perak di bawah pendidikan membuktikan komitmen kerajaan negeri dalam membasmi kemiskinan melalui pendidikan.

Pengurus Besar Yayasan Perak, Dr Nasreen Khanum Nawab Zadah Khan berkata, belanjawan yang disalurkan kepada Yayasan Perak membuktikan komitmen kerajaan negeri secara konsisten bagi mengangkat pendidikan di Perak ke tahap lebih tinggi.

“Jika kita lihat belanjawan tahun ini dan tahun sebelumnya, ia jelas menunjukkan komitmen kerajaan secara konsisten ke arah pendidikan.

“Sebagai pengurus baharu Yayasan Perak saya melihat terdapat ruang-ruang yang boleh kita perbaiki dari segi melancarkan pengurusan dan penyaluran bajet,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media sempena Majlis Apresiasi STPM, STAM Tahun 2022 Dan Penyampaian Biasiswa Menteri Besar Tahun 2023 anjuran Jabatan Pendidikan Negeri Perak di Auditorium Kolej Melayu Kuala Kangsar (MCKK) di sini pada Isnin.

Mengulas lanjut, Nasreen Khanum berkata, bagi menyokong dan menjayakan usaha kerajaan negeri, Yayasan Perak akan memperkasakan strategi kerjasama melibatkan Jabatan Pendidikan (JPN) Perak dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) negeri.

Jelas beliau, dari segi pelaksanaan pula, Yayasan Perak akan memberi penekanan berterusan dalam meningkatkan penyaluran dana serta penambahbaikkan dalam industri pendidikan di Perak.

“Umumnya bagi matlamat utama pendidikan secara asas kita akan menjadi peneraju untuk aktiviti-aktiviti pendidikan dan program pendidikan dalam negeri.

“Selain itu, kami juga akan memberi tumpuan kepada golongan sasar iaitu kumpulan miskin dan B40 selari dengan hasrat membasmi kemiskinan melalui pendidikan,” katanya.

Untuk rekod, Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad mengumumkan sejumlah RM23.8 juta peruntukan kepada Yayasan Perak dalam Belanjawan Perak 2024 yang dibentang pada 1 Disember lalu.

Daripada jumlah berkenaan sebanyak RM7.8 juta diperuntukkan bagi bidang pendidikan termasuk Biasiswa Menteri Besar Perak sebanyak RM1 juta dan RM600,000 di bawah Tabung Simpanan Pendidikan Anak Perak (Taspen). -MG Perak

Artikel Berkaitan:

MGPerak: Belanjawan Perak 2024 Berjumlah RM1.35 Bilion Diluluskan Sebulat Suara

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI