TAIPING – Tiga ekor gajah Dara, Amoi dan Kelat atau dikenali sebagai ‘DAK’ dari Malaysia yang dipindahkan ke Zoo Tennoji di Osaka, Jepun, berada dalam keadaan baik dan dipantau secara berterusan oleh pakar veterinar serta penjaga haiwan yang berpengalaman.
Majlis Perbandaran Taiping (MPT) dalam satu kenyataan memaklumkan, berdasarkan kepada rekod pemantauan kesihatan terkini daripada Zoo Tennoji, ketiga-tiga ekor gajah berkenaan menunjukkan peningkatan berat badan yang konsisten.
Katannya, berat badan Kelat mengalami peningkatan berat badan daripada 2360 kilogram (kg) kepada 2800kg; Dara (1985kg kepada 2200kg) dan (1280kg kepada 1480kg).
“Pemantauan meliputi aspek kesihatan fizikal, pemakanan, tingkah laku dan persekitaran habitat bagi memastikan tahap kebajikan yang optimum.
“Kemudahan habitat yang disediakan merangkumi ruang yang mencukupi, sistem penjagaan harian yang terancang serta program pengayaan bagi merangsang tingkah laku semula jadi haiwan, selaras dengan piawaian antarabangsa,” katanya menerusi kenyataan pada Rabu.
Menurut MPT, perkembangan itu mencerminkan tahap kesihatan, pemakanan dan penjagaan harian haiwan yang baik serta terkawal.
Katanya lagi, ia sekali gus menunjukkan bahawa kebajikan ketiga-ketiga haiwan dari Malaysia itu berada pada tahap tinggi di samping mematuhi amalan terbaik pengurusan haiwan liar dalam kurungan.
Mengulas lanjut MPT berkata, penempatan tiga mamalia itu ke Osaka adalah susulan perjanjian antarabangsa yang dipersetujui antara Tennoji Zoo Osaka dengan Zoo Taiping & Night Safari pada 19 Mei dan 6 Oktober 2022.
“Perjanjian ini adalah bagi tempoh 25 tahun. Program seumpama ini telah lama dilaksanakan oleh zoo di seluruh dunia,” katanya.
MPT memaklumkan, pihaknya akan menyediakan laporan berkala secara mingguan berhubung keadaan Dara, Amoi dan Kelat berdasarkan maklumat rasmi yang diterima daripada Zoo Tennoji sebagai langkah proaktif dan komitmen terhadap ketelusan.
“Laporan ini akan dikongsikan kepada pihak berkepentingan serta orang awam bagi memastikan penyampaian maklumat yang tepat dan sahih.
“Pihak MPT juga akan terus berhubung secara langsung dengan pihak pengurusan Zoo Tennoji dari semasa ke semasa bagi mendapatkan perkembangan terkini serta memastikan kebajikan haiwan sentiasa diberi keutamaan,” katanya lagi.
MPT memaklumkan, terdahulu pihaknya menerima kunjungan demonstrasi aman serta penyerahan memorandum berkenaan tuntutan ‘Kembalikan DAK’ oleh yang diketuai oleh Pengerusi Sekretariat Bahana Kesetiaan Negara (SBKN), Datuk S Kalai.
Katanya, pihaknya mengambil maklum hal tersebut dan menghormati hak semua pihak dalam menyuarakan pandangan secara tertib serta berhemah selaras dengan peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa.
Justeru MPT berkata, pihaknya akan meneliti secara terperinci setiap perkara yang dikemukakan dalam memorandum yang dikemukakan badan bukan kerajaan (NGO) itu.
Jelasnya, MPT akan memberikan maklum balas rasmi dalam masa terdekat selaras dengan prosedur serta peraturan yang sedang berkuat kuasa.
“Orang awam dinasihatkan agar merujuk kepada sumber rasmi dalam mendapatkan maklumat yang sahih serta mengelakkan sebarang tafsiran yang boleh menimbulkan kekeliruan, percanggahan fakta dan persepsi yang tidak tepat berhubung kebajikan Dara, Amoi dan Kelat,” ujarnya. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
Fasa pertama projek Pusat Santuari Gajah Perak bernilai RM52 juta


