IPOH – Parti Amanah Negara (Amanah) Perak mengalu-alukan mana-mana individu termasuk bekas pemimpin atau ahli Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) di peringkat akar umbi untuk menyertai parti mereka.
Pengerusi Amanah Perak, Datuk Asmuni Awi berkata, sememangnya ada individu daripada parti tersebut yang menunjukkan minat untuk menyertai Amanah, khususnya di peringkat cawangan.
“Ada, memang ada, tapi tokoh-tokoh besar tidak nampak lagilah. (Ahli) Peringkat cawangan itu memang ramailah.
“Jadi kita mengalu-alukan semua pihak, tokoh-tokoh besar ke kecil, asalkan dia dapat menghayati aspirasi Amanah dan juga Kerajaan Perpaduan, kita boleh terima, inshaAllah,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan Majlis Penyerahan Kabin Persatuan Penduduk Taman Meru Perdana 2 di sini pada Selasa.
Dalam perkembangan sama, Asmuni memaklumkan bahawa permohonan keahlian boleh dikemukakan kepada kepimpinan negeri untuk dinilai secara satu persatu.
“Permohonan itu boleh dibuat kepada pihak (Amanah) negeri dan dalam konteks di Perak ini, kita akan melihat satu persatu. Kita tidak ada general rule (peraturan umum) berhubung perkara ini.
“Secara umumnya kita mengalu-alukan mana-mana pihak yang ingin untuk menyertai Amanah dan kita akan terima secara umumlah.
“Bagaimanapun ini tertakluk kepada kes demi keslah. Kalau ada kes-kes tertentu jadi kita akan meneliti permohonan tersebut,” jelasnya.
Sebelum ini media melaporkan, Lembaga Disiplin Bersatu memecat serta menggantung keahlian beberapa wakil rakyat serta pemimpin parti itu berkuat kuasa serta-merta.
Mereka yang dipecat ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Suka Menanti yang juga Ketua Bahagian Bersatu Alor Setar, Dzowahir Ab Ghani; ADUN Sungai Tiang, Abdul Razak Khamis; Ketua Bahagian Hulu Langat, Muhammad Faiz Rahmad; Ketua Armada Bahagian Parit, Wan Meor Safwat Naqiuddin Shamsuddin dan ADUN Kok Lanas, Datuk Mohamed Farid Mohamed Zawawi.
Enam Ahli Parlimen pula digantung hak-hak keahlian bagi dua penggal pemilihan parti, iaitu Datuk Seri Ikmal Hisham Abdul Aziz (Tanah Merah), Datuk Abdul Khalib Abdullah (Rompin), Nordin Ahmad Ismail (Lumut), Datuk Rosol Wahid (Hulu Terengganu), Muhammad Islahuddin Abas (Mersing) dan ADUN Bukit Bunga, Mohd Almidi Jaafar. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
Bekas pemimpin BERSATU nyatakan hasrat mahu sertai UMNO – Saarani


