Kalau Tambun pun tak selamat, Anwar nak tanding di mana? – Rafizi

KUALA LUMPUR – Bekas Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Rafizi Ramli menyifatkan analisis kerusi PKR yang bocor bukan sekadar tentang Tier 1; Tier 2A, Tier 2B atau Tier 3.

Tetapi persoalan lebih besar kata Ahli Parlimen Pandan itu adalah, sekiranya Tambun pun dikategorikan kerusi tidak cukup selamat, maka persoalannya di mana Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan bertanding pada pilihan raya umum (PRU) akan datang.

Dakwa beliau, naratif pada PRU 2022 adalah jelas yang mana Anwar bertanding di Tambun yang disifatkan kerusi sukar kerana mahu memperlihatkan beliau sanggup mengambil risiko, bukan sekadar mahu menjadi Perdana Menteri melalui jalan mudah.

Percaturan itu, jelas bekas Menteri Ekonomi berkenaan membuahkan hasil apabila Anwar menang dan diangkat menjadi Perdana Menteri.

“Sepatutnya selepas hampir satu penggal, Tambun sudah jadi kubu.

“Kalau Perdana Menteri sendiri tidak boleh mengukuhkan kerusi yang dia wakili, apa jaminan dia boleh pergi ke kerusi lain dan menang dengan selesa?

“Pematang Pauh? Putrajaya? Bandar Tun Razak? Ampang? Semua ada risiko.

“Sebab masalah beliau sekarang bukan sekadar geografi politik. Masalahnya lebih dalam,” katanya menerusi Facebook malam tadi.

Menurut Rafizi, undi orang Melayu terhadap Anwar dan PKR belum tentu meningkat, begitu juga undi bukan Melayu yang belum tentu kekal seperti dulu, sekali gus menilai Anwar sedang dihimpit dari dua sisi tersebut.

“Sebab itu persoalan kerusi Anwar ini penting. Bukan sekadar gosip politik dalaman PKR. Ia petanda lebih besar tentang kedudukan sebenar PKR menjelang PRU akan datang.

“Kalau PM sendiri perlu cari kerusi selamat, maksudnya yang lain pun tahu keadaan tidak selamat,” katanya.

Sebelum ini, sebuah portal berita melaporkan dokumen bertajuk Analisis Strategik PRU16: Ringkasan Mengikut Tier yang dibentangkan dalam perjumpaan kira-kira 900 pimpinan PKR pada 2 Mei lalu.

Analisis itu mendedahkan PKR kini berada dalam mod berjaga-jaga susulan sokongan di beberapa kerusi utama dilihat semakin terhakis.

Menurut laporan itu, daripada 66 kerusi yang dianalisis, hanya tujuh dikategorikan sebagai Tier 1 atau selamat, manakala 13 kerusi diletakkan dalam Tier 2A; 17 kerusi dalam Tier 2B (marginal) dan 29 lagi dalam Tier 3 yang dianggap sukar atau memerlukan pemulihan sokongan.

Antara kerusi Parlimen yang diklasifikasikan dalam kategori marginal Tier 2B ialah Sungai Petani, Tanjung Malim dan Tambun, manakala Gombak serta Sungai Buloh diletakkan dalam Tier 3 yang memerlukan intervensi luar biasa atau bantuan khas daripada kepimpinan Pusat. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI