PARIT – Hampir 40,000 pesakit telah mendapatkan rawatan di Hospital Seri Iskandar, di sini, sejak ia memulakan operasinya secara rasmi pada 11 Disember 2024.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, angka berkenaan merupakan testimoni peri pentingnya hospital ini sebagai ‘nadi kehidupan’ bagi penduduk setempat.
“Apabila hospital ini mula beroperasi sepenuhnya sejak Disember 2024 yang lalu, ia membawa satu sinar harapan kepada lebih 94,000 penduduk di 12 mukim di Perak Tengah.
“Jika dahulu, warga emas dari Pasir Salak atau ibu-ibu dari Pulau Tiga mungkin terpaksa menempuh perjalanan jauh untuk mendapatkan rawatan pakar, kini, kemudahan bertaraf dunia sudah berada di depan mata mereka,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan sembah ucapan perasmian Hospital Seri Iskandar baru-baru ini.

Tambah Dzulkefly, dengan adanya 401 anggota yang komited serta kehadiran Pakar Perubatan Dalaman dan Kecemasan, hospital Seri Iskandar kini menjadi benteng perlindungan kesihatan yang kukuh bagi rakyat negeri ini.
“Hospital ini dilengkapi dengan pelbagai kelengkapan moden seperti Dewan Bersalin, Unit Hemodialisis, serta High Dependency Unit (HDU).
“Semua kemudahan ini disediakan agar kualiti hidup rakyat terus meningkat dan patik percaya, rakyat yang sihat adalah aset terpenting negeri,” katanya.
Dzulkefly berkata, hanya dengan rakyat yang sihat, agenda pembangunan negeri Perak dan negara MADANI dapat direalisasikan dengan jayanya. -MG Perak


