Majuperak disenarai keluar ‘Affected Listed Issuer’

IPOH – Pengumuman pengeluaran status ‘Affected Listed Issuer’ terhadap Majuperak Holdings Berhad (Majuperak) oleh Bursa Malaysia merupakan pencapaian penting dalam perjalanan pemulihan syarikat.

Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNPk) dalam satu kenyataan media memaklumkan Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) negeri itu menyambut baik pengumuman yang berkuat kuasa mulai jam 9 pagi pada Selasa.

Katanya, perkembangan tersebut turut mencerminkan keberkesanan langkah penstrukturan serta pengukuhan yang telah dilaksanakan oleh pihak pengurusan Majuperak sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

“PKNPk percaya pencapaian tersebut bukan sahaja menandakan pemulihan status syarikat di peringkat pasaran modal, malah membuktikan keupayaan Majuperak untuk terus bergerak ke hadapan dengan asas kewangan, tadbir urus dan hala tuju perniagaan yang lebih kukuh serta mampan.

“Sepanjang tempoh pemulihan, Majuperak telah melaksanakan pelbagai inisiatif penambahbaikan secara berdisiplin dan bertanggungjawab, termasuk memperkukuh pengurusan operasi, meningkatkan tahap pematuhan korporat serta memperkemas strategi perniagaan bagi memastikan kelangsungan syarikat dalam jangka panjang,” katanya.

Sementara itu, Ketua Eksekutif PKNPk, Datuk Redza Rafiq Abdul Razak dalam kenyataan sama berkata, kejayaan tersebut turut membuktikan bahawa pendekatan yang dibawa oleh Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad menerusi Pelan Perak Sejahtera 2030 menjadi antara faktor penting dalam memastikan kelangsungan serta daya tahan syarikat-syarikat berkaitan kerajaan negeri.

Majuperak disenarai keluar 'Affected Listed Issuer'
Pengerusi Eksekutif Majuperak Holdings Berhad, Datuk Redza Rafiq Abdul Razak.

Redza Rafiq yang juga Pengerusi Eksekutif Majuperak Holdings Berhad berkata, sepanjang proses pemulihan tersebut, pelbagai pandangan dan saranan telah dikemukakan.

Jelasnya, namun Menteri Besar Perak kekal percaya bahawa setiap cabaran mampu diselesaikan melalui acuan dan pendekatan sendiri yang berteraskan disiplin pengurusan, kesabaran, ketelusan serta keyakinan terhadap keupayaan institusi negeri sendiri.

“Pendekatan inilah yang menjadi antara kunci penting dalam memastikan GLC negeri terus kekal relevan, berdaya tahan dan mampu bangkit semula dengan lebih kukuh.

“Pengeluaran status Majuperak daripada Affected Listed Issuer juga sekali gus menghapuskan segala keraguan terhadap masa depan Majuperak sebagai salah satu enjin strategik PKNPk dalam memacu pembangunan dan pertumbuhan ekonomi Negeri Perak.

“Pencapaian ini membuktikan bahawa dengan hala tuju yang jelas, komitmen pengurusan dan sokongan semua pihak berkepentingan, Majuperak mampu kembali berada di landasan yang lebih positif dan berdaya saing,” katanya.

Ketua Pegawai Eksekutif Majuperak, Yazurin Sallij Muhammad Yasin berkata, pencapaian berkenaan merupakan satu lembaran baharu yang amat bermakna buat syarikat.

“Pencapaian ini mencerminkan ketahanan, komitmen serta usaha gigih seluruh pasukan dalam memperkukuh kedudukan kewangan syarikat dan memacu semula momentum perniagaan,” katanya. -MG Perak

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI