TAPAH – Seorang penunggang motosikal maut selepas melanggar haiwan disyaki lembu di KM12, Jalan Tapah-Changkat Petai di sini, malam tadi.
Ketua Polis Daerah Tapah, Superintenden Abdul Malik Hasim berkata, siasatan awal mendapati mangsa seorang lelaki berusia 20an sedang menunggang motosikal seorang diri dalam perjalanan pulang dari tempat kerja ke kediamannya di Sungai Manik.
Menurut beliau, berdasarkan siasatan di lokasi kejadian terdapat kesan najis lembu dan kesan bergeser di atas jalan raya di bahagian laluan mangsa.

“Terdapat kesan kerosakkan teruk di bahagian hadapan motosikal mangsa yang menunjukkan ia telah melanggar sesuatu sebelum terbabas dan tiada kesan kenderaan lain di tempat kejadian.
“Akibat daripada kemalangan itu, mangsa mengalami kecederaan parah di kepala dan telah meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.
Tambah beliau, kes telah diklasifikasikan di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.
Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta untuk tampil membantu siasatan dengan menyalurkan maklumat kepada pihak Polis Daerah Tapah di talian 05-4011222 atau menghubungi Pegawai Penyiasat Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah Tapah, Insp. Mohd Faizan bin Ahmad @ Mohammed Razikin di talian 013-2087819. -MG Perak


