IPOH – Polis sedang giat mengesan suspek yang dipercayai terlibat dalam kejadian curi yang berlaku di sebuah gerai nasi bajet di Lebuh Meru Raya di sini hari ini.
Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Muhammad Najib Hamzah berkata, pihaknya telah menerima laporan polis daripada pengadu yang mendakwa kerugian kira-kira RM2,000 melibatkan wang tunai dan sebuah telefon bimbit jenis iPhone 13.
Menurutnya, dalam kejadian sekitar jam 12 tengah hari itu, pengadu (seorang wanita) sedang berniaga dan membungkus makanan sebelum didatangi dua lelaki menaiki motosikal jenis Yamaha Y15ZR berwarna perak untuk membeli makanan.
“Ketika pengadu sedang membungkus nasi, suspek dipercayai mengambil sebuah peti wang yang mengandungi wang tunai serta sebuah telefon bimbit milik pengadu sebelum melarikan diri menaiki motosikal ke arah Bulatan Meru Raya,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.
Beliau berkata, rakaman kejadian itu turut tular di media sosial Facebook selepas dimuat naik oleh orang awam sehingga mendapat perhatian netizen.
Katanya, kes disiasat di bawah Seksyen 379 Kanun Keseksaan kerana mencuri.
“Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh di talian 05-2451500 atau hadir ke balai polis berhampiran,” ujarnya.
Terdahulu, tular satu rakaman video berdurasi 1 minit 25 saat di media sosial memaparkan seorang lelaki berbaju merah, berseluar panjang dan memakai topi keledar dipercayai melarikan sebuah peti wang sebelum meloloskan diri bersama seorang lagi lelaki dengan menaiki sebuah motosikal. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
Polis siasat kejadian tular pemandu bas ditumbuk pemandu lori di JRTB


