IPOH – Parti Keadilan Rakyat (PKR) Perak berharap Presiden Parti yang juga Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim kekal mempertahankan kerusi Parlimen Tambun pada Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) nanti.
Pengerusi PKR Perak, Mohamad Hairul Amir Sabri berkata, kehadiran Anwar di Perak penting dalam membantu parti berkenaan menambah kemenangan kerusi di Parlimen mahupun Dewan Undangan Negeri (DUN) yang ditandingi kelak.
Katanya, bagaimanapun ia masih terlalu awal untuk dibincangkan kerana tiada sebarang keputusan rasmi yang dibuat berhubung perkara berkenaan.
“Untuk PRK Perak sudah semestinya kita minta presiden kita bertanding di negeri Perak dan mempertahankan kerusi beliau di Parlimen Tambun.
“Setakat ini hasil perbincangan dengan presiden, beliau tidak maklumkan apa-apa dan hanya meminta kita terus bekerja untuk memastikan Tambun menang pada pilihan raya akan datang,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada Majlis Ramah Mesra Hi-Tea bersama Para Pengamal Media di Wisma KEADILAN Negeri Perak, di Bandar Meru Raya, di sini, pada Sabtu.
Mohamad Hairul Amir berkata, berdasarkan pengalaman bersama Anwar, sebarang keputusan berkaitan kerusi pilihan raya lazimnya hanya akan dimuktamadkan beberapa bulan sebelum pilihan raya.
Kata beliau, Anwar juga tidak pernah melihat soal kerusi selamat sebagai faktor utama dalam menentukan ketusi yang akan dipertandingkan.

“Tujuan beliau datang bertanding di Tambun sebelum ini adalah untuk mendapatkan momentum dan sokongan di kawasan utara bagi membantu PKR (serta Pakatan Harapan (PH)) menang lebih banyak kerusi untuk disumbangkan ke Parlimen,” katanya lagi.
Dalam perkembangan sama, beliau turut diminta mengulas berkenaan laporan sebuah portal berita yang mendedahkan analisis dalaman 66 kerusi Parlimen oleh PKR menjelang PRU16.
Berdasarkan kepada dokumen bertajuk ‘Analisis Strategik PRU16: Ringkasan Mengikut Tier’ tiada mana-mana kerusi di Perak yang berada pada kategori Tier 1 atau kerusi kuat termasuk Tambun yang diletakkan di bawah kategori Tier 2B atau marginal.
Mohamad Hairul Amir berkata, beliau mengakui bahawa semua kerusi yang dipertandingkan di Perak bukan disifatkan sebagai kerusi selamat termasuk yang dimenangi iaitu Tanjung Malim, Gopeng dan Sungai Siput.
Bagaimanapun, beliau memberitahu, situasi tersebut tidak mematahkan semangat jentera parti sebaliknya ia dijadikan petunjuk realistik berasaskan data sebenar untuk mengekalkannya kerusi-kerusi yang telah dimenangi pada pilihan raya lalu.
“Kita pun sedar kerusi di Perak ini bukanlah kerusi yang mudah, khususnya Tambun sendiri kerana ia merupakan kerusi campuran selain beberapa tempat lain seperti Tanjung Malim, Gopeng dan Sungai Siput.
“Dan kedudukan kerusi dalam Tier 1 itu tidak bermakna kita tidak boleh menang, sebaliknya ia sebagai suntikan semangat buat jentera parti dalam menghadapi situasi sebenar dalam pilihan raya nanti,” ujarnya.
Menurut beliau, PKR Perak ketika ini memiliki empat kerusi Parlimen dan lima kerusi DUN termasuk dua wakil yang memegang portfolio Exco kerajaan negeri.
Beliau berkata, selain mempertahankan kerusi-kerusi sedia ada, partinya juga sedang mengenal pasti beberapa lagi kerusi berpotensi untuk dimenangi berdasarkan data dan gerak kerja semasa.

Dalam pada itu, Timbalan Pengerusi PKR Perak, Tan Kar Hing berkata, laporan berkaitan klasifikasi Tier yang dibentangkan itu perlu dilihat sebagai satu penilaian politik yang dinamik.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Gopeng berkata, secara umum tiada kerusi PKR yang boleh dianggap benar-benar selamat kecuali beberapa kawasan yang dimenangi secara konsisten dalam beberapa siri pilihan raya sebelum ini.
“Dinamik sokongan di bawah sentiasa berubah dan laporan itu menjadi panduan untuk menentukan strategi serta kekuatan jentera,” katanya.
“Kita tidak boleh berhenti setakat membaca laporan itu sahaja, tetapi perlu mengubah kedudukan tersebut.
“Kita mahu pastikan ada kerusi yang lebih kuat dari semasa ke semasa, dan kita masih ada masa kira-kira setahun untuk membuat persiapan,” katanya lagi. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
Kalau Tambun pun tak selamat, Anwar nak tanding di mana? – Rafizi


