GOPENG – Perak sedang meneliti cadangan pindaan atau penambahbaikan terhadap Undang-Undang Kecil (UUK) Pelesenan Anjing di bawah pihak berkuasa tempatan (PBT), termasuk memperkenalkan kadar lesen berbeza sebagai galakan kepada pemilik memandulkan haiwan peliharaan mereka.
Exco Perumahan dan Kerajaan Tempatan Perak, Sandrea Ng Shy Ching berkata, langkah itu dilihat penting bagi menangani isu haiwan terbiar dengan cara yang lebih berkesan.
Katanya, pendekatan berasaskan kempen kesedaran serta subsidi semata-mata tidak mencukupi sekiranya masyarakat perlu dibentuk melalui budaya pemilikan haiwan yang lebih bertanggungjawab.

“Melalui usaha ini, ia termasuk melihat kepada cadangan untuk memperkenalkan kadar lesen anjing yang berbeza sebagai galakan kepada pemilik untuk memandulkan haiwan peliharaan mereka.
“Jika kita benar-benar mahu menyelesaikan isu haiwan terbiar, kita perlu bergerak melalui gabungan pendidikan, kesedaran, subsidi, polisi dan peraturan supaya budaya pemilikan haiwan yang lebih bertanggungjawab dapat dibentuk secara berperingkat dan mampan,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui pada Program Perak Pawsitive Initiative 2026 di Dewan Serbaguna Kampung Baru Lawan Kuda, di sini, pada Ahad.

Menurut Shy Ching, kerajaan negeri berharap agar kajian berkaitan pindaan UUK itu dapat diselesaikan dalam tahun ini bagi membolehkan pelaksanaannya dimulakan secepat mungkin.
Jelas beliau, antara aspek yang sedang dikaji termasuk kepada pelaksanaan program mikrocip terhadap anjing peliharaan bagi tujuan pengesanan sekiranya haiwan berkenaan dibuang pemilik.
Kata beliau, penelitian terhadap kaedah pelaksanaan mikrocip ke atas anjing yang merangkumi kos serta kesesuaiannya di lapangan turut diambil kira supaya tidak membebankan pemilik haiwan.
“Itu juga sebahagian daripada kajian yang sedang dilaksanakan dalam UUK anjing kerana kita nampak untuk jangka masa panjang ia memang sesuatu yang sangat diperlukan supaya haiwan peliharaan yang sebelum ini dilesenkan, apabila dibuang kita boleh kesan.
“Namun pada masa sama, isu yang lebih besar hari ini ialah kelahiran haiwan (secara tidak terkawal) akibat tidak dilakukan pemandulan, jadi fokus utama masih kepada pemandulan,” katanya lagi.

Mengulas lanjut, Shy Ching berkata, antara implikasi lain yang sedang diteliti dalam usaha ini termasuk kepada syarat lebih ketat terhadap pemilikan anjing serta had jumlah haiwan yang dibenarkan mengikut jenis premis.
Beliau berkata, kerajaan negeri juga sedang meneliti syarat lain termasuk kepada vaksin rabies sebagai sebahagian daripada cadangan pindaan UUK Pelesenan Anjing.
“Pada hari ini, rata-rata PBT hanya mengenakan RM10 untuk mengeluarkan lesen anjing, jadi kita nampak memang ada keperluan untuk menggunakan syarat yang lebih ketat supaya pemilik lebih bertanggungjawab.
“Contohnya dari segi kadar lesen berbeza yang menggalakkan pemandulan, selain jumlah anjing yang dibenarkan di sesuatu tempat seperti kawasan kediaman, kilang atau kawasan berpenduduk yang lebih luas,” jelasnya. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
1,008 haiwan dimandulkan, kerajaan negeri tingkat peruntukan Perak Pawsitive Initiative


