Cendawan susu rimau dipulihara, bakal lonjak nama Lenggong

CENDAWAN susu rimau atau nama saintifiknya Lignosus rhinocerotis bukanlah asing di dalam industri kesihatan tradisional dan penyelidikan moden di Malaysia.

Khazanah perubatan nadir ini sering dihasilkan oleh institusi penyelidikan global di dalam persekitaran makmal terkawal.

Namun siapa sangka, di saat penanaman cendawan susu rimau ini dihadkan di dalam persekitaran makmal terkawal, Perak berjaya mengembalikan semula kaedah tanaman spesis ini di habitat asalnya iaitu hutan liar asli.

Lebih manis lagi, cendawan induk yang berjaya tumbuh di Kompartmen 194, Hutan Simpan Piah, Lenggong itu ditanam oleh Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad pada September 2024.

Inisiatif berimpak tinggi ini, yang bermula dengan azam murni pada 18 September 2024 melalui penanaman sulung oleh Saarani, kini bersedia untuk dicalonkan ke peringkat anugerah prestij antarabangsa sebagai model terbaik kelestarian biodiversiti dan perhutanan sosial sejagat.

Bercakap kepada Malaysia Gazette (MG) Perak, Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Bambusa, Dr. Muhammad Hakim Abdullah berkata, kejayaan itu sekali gus mengukuhkan kedudukan negeri ini di persada global sebagai pelopor inovasi alam sekitar melalui kejayaan projek pemulihan liar cendawan susu rimau.

Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Bambusa Dr. Muhammad Hakim Abdullah (dua, kiri) bersama ranger hutan menunjukkan Cendawan Susu Rimau atau nama saintifiknya Lignosus rhinocerotis ditemui tumbuh liar di Kompartmen 194, Hutan Simpan Piah, Lenggong. Foto ANIQ NABILAFIQ ANUAR.

Muhammad Hakim yang juga Saintis Konservasi berkata, segalanya bermula pada 2024 apabila Yayasan Bambusa menulis surat kepada Saarani bagi memohon pelaksanaan hutan sosial di Lenggong yang mana kemudian ia diluluskan melalui mesyuarat Exco.

“Jadi di bawah pelaksanaan hutan sosial, Yayasan Bambusa memilih memberi tumpuan kepada mikologi atau pun kulat dan ia dimulakan dengan memperkenalkan cendawan susu rimau dan kulat.

“Sebagai permulaan dan benih pertama cendawan ini kita telah menjemput Menteri Besar Perak untuk menanamnya dan Alhamdulilah akhirnya beberapa bulan ini cendawan tersebut menjelma,” katanya.

Tambahnya, usaha tersebut bukan sahaja memelihara ketulenan genetik cendawan susu rimau malah menjadi penanda aras baharu bagi pengurusan hutan lestari global.

Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Bambusa Dr. Muhammad Hakim Abdullah ketika temubual bersama MalaysiaGazette (MG) Perak di Kompartmen 194, Hutan Simpan Piah, Lenggong. Foto ANIQ NABILAFIQ ANUAR.

“Kita telah mulakan projek ini dan kajian yang dijalankan selama dua tahun bermula 2024 hingga 2025 itu memberi tumpuan menghasilkan cendawan induk yang di tanam sendiri Menteri Besar Perak.

“Alhamdulillah cendawan ditanam itu hidup dan menjadi cendawan induk di mana kita mengambil benih daripadanya untuk ditanam di tapak pertama,” katanya.

Hasil tuaian pertama ‘cantik’, ada permintaan pasaran luar negara

Muhammad Hakim berkata, kemampuan cendawan rimau susu tumbuh di Kompartmen 194, Hutan Simpan Piah, Lenggong membawa sinar baharu dalam penanaman kulat berkenaan di negeri ini.

Beliau berkata, cendawan yang ditanam Menteri Besar Perak itu berjaya dituai dengan hasilnya dibawa masuk ke makmal bagi tujuan analisis dan hasilnya amat memberangsangkan.

“Kita sudah buat analisis dan memang cukup cantik dia punya microbill, metal berat,beta-glucan polisakarida itu memang cukup bagus untuk dipakai bagi industri kesihatan dan farmaseutikal.

“Tapi disebabkan komuniti kita lebih kepada makanan untuk senang memasuki pasaran maka kita gunakan cendawan susu rimau ini untuk hasilkan produk berkaitannya,” katanya.

Ranger Yayasan Bambusa melakukan penyediaan tapak semaian bagi penanaman benih Cendawan Susu Rimau atau nama saintifiknya Lignosus rhinocerotis di Kompartmen 194, Hutan Simpan Piah, Lenggong. Foto ANIQ NABILAFIQ ANUAR.

Tambahnya, antara produk yang dihasilkan adalah sos pencicah dengan perasa khas serta produk istimewa dari masyarakat Suku Lanoh berupa kopi cendawan susu.

Katanya lagi, beberapa pengusaha dari luar negara seperti Amerika Syarikat juga telah menunjukkan minat dengan produk cendawan susu rimau yang diusahakan itu.

“Jadi saya rasa ini kali pertama saya rasa cendawan susu rimau yang diperkenalkan dalam hutan yang ditanam Menteri Besar Perak dan diterajui orang asli akan masuk ke pasaran luar negara,” katanya.

Bantu jana ekonomi komuniti Orang Asli Suku Lanoh

Muhammad Hakimi berkata, projek pemulihan liar cendawan susu rimau bukan sekadar memulihara alam sekitar malah memberi manfaat kepada komuniti setempat terutamanya masyarakat orang asli.

Beliau berkata, projek berkenaan melibatkan komuniti Orang Asli Suku Lanoh dari Kampung Air Bah, Lenggong yang bagi memperkasakan usaha murni mereka dalam bidang mikologi dan etnobotani.

“Yayasan Bambusa menjadikan komuniti Orang Asli Suku Lanoh dari Kampung Air Bah sebagai kampung angkat di mana mereka terlibat dalam beberapa program yang menjana pendapatan ekonomi.

Produk berasaskan Cendawan Susu Rimau atau nama saintifiknya Lignosus rhinocerotis yang telah diproses untuk kegunaan perubatan tradisional dipamerkan ketika program eksplorasi hutan Yayasan Bambusa di Kompartmen 194, Hutan Simpan Piah, Lenggong. Foto ANIQ NABILAFIQ ANUAR.

“Selain itu juta, Suku Lanoh ini juga hampir pupus di mana jumlah mereka hanya tinggal 375 buah keluarga dan kita berusaha memastikan komuniti ini mendapat manfaat,” katanya.

Katanya lagi, Yayasan Bambusa bukan sekadar membiayai projek melibatkan komuniti Orang Asli Suku Lanoh di Kampung Air Bah malah juga membimbing mereka secara berterusan.

“Kami berharap agar dengan sokongan Menteri Besar Perak, Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia DAN Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) projek ini dapatlah dilanjutkan selepas ini.

“Projek ini merupakan perkara penting sebab melibatkan pemuliharaan mikologi yang diberikan perhatian oleh dunia,” katanya.

Muhammad Hakim berkata, sebelum ini Lenggong telah diiktiraf sebagai Tapak Warisan Dunia UNESCO sejak 2012 dan Geopark Global Pertubuhan Pendidikan, Saintik dan Kebudayaan UNESCO.

“Jadi kali ini untuk kawasan kita ini kita mahu memohon UNESCO supaya perak menjadi satu-satunya negeri yang mempunyai tiga pengiktirafan UNESCO,” katanya. -MG Perak

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI