PADANG RENGAS – Bayangan pengurangan perbelanjaan dalam Bajet 2027 oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim disifatkan sebagai langkah bertanggungjawab bagi memastikan ketahanan ekonomi negara.
Pegawai Khas kepada Menteri Kewangan, Muhammad Kamil Abdul Munim berkata, bahkan tindakan berkenaan juga berkemungkinan dilaksanakan mana-mana pemimpin dunia yang bertanggungjawab memelihara kebajikan rakyat masing-masing.
Beliau berkata, ini kerana dunia sedang dilanda krisis ekoran ketidaktentuan geopolitik semasa yang menuntut penyusunan semula kedudukan ekonomi negara masing-masing.
“Ini bukan hal baharu kerana dua bulan lalu Perdana Menteri telah beri peringatan dunia hari ini sedang mengalami bukan hanya sekadar krisis kenaikan harga minyak tetapi termasuk juga krisis bekalan akibat perang yang sedang berlaku.
“Jadi tidak salah kalau kita dalam keadaan dunia sedang dilanda krisis, mana-mana pemimpin atau mana-mana pemerintah yang bertanggungjawab, dia akan lakukan pendekatan yang sama,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas hadir pada ke Majlis Pelancaran SUKBEL dan Perasmian Karnival Belia MADANI di Dataran Tun Perak, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tun Perak, di sini, pada Sabtu.
Tambahnya, meskipun langkah berkenaan dilihat bukan sebagai tindakan popular, sebagai pemimpin yang tahu akan tugas dan tanggungjawab usaha Perdana Menteri adalah memastikan kelangsungan rakyat dan negara.
Muhammad Kamil turut menerangkan bahawa kerajaan tidak akan memotong perbelanjaan melibatkan sektor kesihatan dan pendidikan sebaliknya ia lebih kepada penstrukturan semula perbelanjaan.
“Kita tidak akan potong dan penstrukturan semula perbelanjaan tidak akan menjejaskan perkhidmatan kesihatan atau pendidikan dan program ini akan terus dilaksanakan.
“Cuma kita semak semula mana yang boleh dijimatkan kita akan jimatkan. Bukan soal kita hendak tarik peruntukan kesihatan atau pendidikan secara keseluruhan tetapi melihat semula kaedah dan pendekatan perbelanjaan,” katanya.
Katanya lagi, daripada situ kerajaan akan menilai dan melihat apakah ada beberapa perkara yang boleh dijimatkan supaya ekonomi negara dapat terus berdaya saing dan mampan menuju ke hadapan.
Semalam, media melaporkan Anwar memberi bayangan Belanjawan 2027 bakal menampilkan lebih banyak penjimatan susulan keadaan ekonomi semasa.
Beliau yang juga Menteri Kewangan menyatakan, ia mengambil kira kesan rantaian serangan Amerika Syarikat (AS) dan Israel terhadap Iran yang menyebabkan keadaan ekonomi terjejas. -MG Perak


