IPOH – Tinggalan sejarah Perancis di Perak wajar dijadikan sebagai salah satu khazanah pelancongan negeri ini dalam menarik kehadiran pengunjung.
Setiausaha Persatuan Warisan Perak, Nor Hisham Zulkifli berkata, hubungan antara Perak dan Perancis telah bermula sejak akhir abad ke-19 menerusi kedatangan masyarakat serta pelabur Perancis ke negeri itu.
Beliau berkata, orang Perancis merupakan antara masyarakat Eropah terawal yang memainkan peranan penting dalam industri perlombongan bijih timah di negeri ini.
“Syarikat seperti Société des Mines d’Etain de Perak dan Société des Mines d’Etain de Kinta (SEK) telah membantu memacu pembangunan ekonomi negeri ketika itu.
“Contoh sumbangan terbesar SEK ketika itu adalah pembinaan stesen janakuasa hidro elektrik pertama negara di Kampar pada tahun 1907,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.

Tambah beliau, pembangunan tersebut menjadi titik penting dalam sejarah kemajuan teknologi dan perindustrian di Tanah Melayu.
“Pembinaan Istana Iskandariah di Kuala Kangsar juga melibatkan kepakaran syarikat pembinaan Perancis, Brossard Mopin Malaya Ltd.
“Selain sektor ekonomi dan pembangunan, pengaruh Perancis turut berkembang melalui kehadiran mubaligh Katholik di Perak,” katanya.
Nor Hisham berkata, selain itu, mubaligh Perancis telah membina banyak gereja termasuk Gereja Our Lady of the Sacred Heart di Taiping serta gereja di Bagan Serai dan Batu Gajah.

Mereka memainkan peranan penting dalam pembangunan pendidikan menerusi penubuhan sekolah mubaligh di beberapa bandar utama negeri ini ketika itu.
Antara institusi pendidikan yang masih dikenali sehingga kini ialah St. Michael’s Institution dan sekolah Convent di Taiping, Ipoh serta Teluk Intan.
“Warisan tersebut membuktikan hubungan sejarah yang panjang dan unik antara Perak dengan negara Perancis.
“Pelbagai tinggalan sejarah itu mempunyai nilai warisan tinggi yang wajar dipelihara dan didokumentasikan dengan baik,” katanya.
Nor Hisham turut mencadangkan agar legasi berkenaan diketengahkan sebagai produk pelancongan menerusi inisiatif Jejak Warisan Perak-Perancis bagi menarik lebih ramai pelawat dalam dan luar negara. -MG Perak


