KUALA LUMPUR – Majlis Syura Ulamak (MSU) Pas memberi mandat kepada Jawatankuasa Kerja Pas Pusat untuk bertindak susulan krisis dalaman Bersatu.
MSU Pas menzahirkan kebimbangan serius terhadap krisis dan konflik dalaman parti itu yang dilihat memberi kesan kepada kekuatan, kestabilan, serta keyakinan rakyat terhadap hala tuju Perikatan Nasional (PN).
Memetik Harakahdaily, Timbalan Mursyidul Am Pas, Datuk Ahmad Yakob berkata, keputusan itu dicapai selepas pihaknya meneliti laporan terperinci pimpinan Pas Pusat serta mengambil kira dapatan kajian dan penilaian daripada pakar-pakar penyelidik berhubung perkembangan politik mutakhir.
“Dalam hal ini, MSU menegaskan bahawa Pas akan terus istiqamah mempertahankan prinsip perjuangan Islam, mendokong agenda penyatuan ummah serta mengutamakan kepentingan rakyat dan negara melebihi kepentingan mana-mana individu atau kelompok,” katanya.
Beliau menjelaskan bahawa setiap keputusan politik yang diambil oleh Pas mestilah dipandu oleh pertimbangan syarak, maslahah ummah, serta keperluan memperkukuh kepercayaan rakyat terhadap kepimpinan berprinsip.
Tegas beliau, Pas tidak akan berkompromi dalam soal kestabilan negara dan agenda memperkasakan penyatuan ummah yang menjadi teras perjuangan parti tersebut.
Sementara itu, Majlis tersebut menyeru seluruh ahli dan pendukung parti agar terus tenang.
“Majlis Syura ‘Ulamak menyeru seluruh pimpinan, ahli dan pendukung perjuangan agar terus berpegang kepada adab berjemaah, memperkukuh kesatuan saf serta meletakkan kepentingan Islam, ummah dan negara sebagai keutamaan tertinggi.
“Semoga Allah SWT mengurniakan petunjuk, kekuatan dan kebijaksanaan kepada seluruh pimpinan dalam membuat keputusan yang terbaik demi agama, ummah dan negara,” katanya.
Hubungan kerjasama antara Pas dan Bersatu dalam blok PN dilaporkan sedang berhadapan dengan ujian getir ekoran beberapa siri konflik dalaman yang melanda kepimpinan Bersatu di peringkat nasional dan negeri.-MalaysiaGazette


