PENGIKTIRAFAN Lenggong sebagai UNESCO Global Geopark pada 27 April 2026 merupakan pencapaian membanggakan bukan hanya kepada masyarakat setempat malah negeri Perak itu sendiri dan juga Malaysia.
Pengiktirafan yang diterima secara rasmi di Ibu Pejabat UNESCO, Paris, Perancis itu melengkapkan kedudukan Lembah Lenggong yang telah diiktiraf sebagai Tapak Warisan Dunia UNESCO sejak tahun 2012.
Ertinya, Lenggong kini membawa dua nilai antarabangsa yang sangat besar, iaitu warisan arkeologi manusia purba dan warisan geologi yang membentuk landskap, alam, budaya serta kehidupan masyarakatnya.
Pada peringkat dunia, jaringan UNESCO Global Geoparks kini merangkumi 241 geopark di 51 negara, meliputi kawasan lebih 882,000 kilometer persegi dan angka ini memberi gambaran bahawa Lenggong kini berada dalam satu rangkaian global yang begitu besar.
Rentetan itu, nama Lenggong tidak lagi hanya disebut sebagai sebuah daerah di Hulu Perak, sebaliknya turut berada dalam peta dunia sebagai khazanah yang mempunyai nilai ilmu, sejarah, geologi, alam sekitar dan pembangunan komuniti.
Selain itu, nilai Lenggong tidak hidup dengan batuan, gua, tasik, bukit dan tapak sejarah semata-mata kerana ia hidup apabila masyarakat tempatan tahu menjaganya, menceritakannya dan menjadikannya sumber rezeki tanpa merosakkan warisan yang diwarisi.
Disini peranan anak muda melalui platform digital ditagih agar cerita, produk dan pengalaman Lenggong dapat merentas daerah, negeri dan negara, malah terus hidup dalam ingatan generasi seterusnya.
Dalam mendepani Revolusi Industri 4.0, anak muda Lenggong perlu berani bergerak seiring dengan perubahan teknologi di mana penguasaan digital, penggunaan kecerdasan buatan atau AI, pembangunan kandungan kreatif, sistem tempahan dalam talian dan penjenamaan produk perlu menjadi sebahagian daripada kekuatan baharu.
Teknologi tidak harus dilihat sebagai sesuatu yang jauh daripada masyarakat kampung, sebaliknya sebagai alat untuk membawa produk, cerita dan pengalaman Lenggong kepada pasaran yang lebih luas.
Penglibatan belia amat penting dalam gerakan ini. Anak muda Lenggong boleh menjadi pencipta kandungan digital, pemandu pelancong, pengusaha homestay, penggerak pakej pengalaman dan pembangun jenama produk tempatan.
Kisah Perak Man, Bukit Bunuh, gua batu kapur, tasik, makanan dan budaya Lenggong perlu diceritakan dengan bahasa zaman ini tanpa mencabut akar warisan yang membentuk identiti daerah ini.
Maka tidak hairanlah apabila Program GeoEntrepreneur Lenggong Geopark diperkenalkan di mana ia merupakan pendekatan menggabungkan keusahawanan dengan pemeliharaan warisan geologi, alam semula jadi, budaya dan sejarah setempat.
Malah Lenggong menjadi UNESCO Global Geopark pertama di Malaysia yang memperkenalkan modul kursus usahawan di bawah GeoEntrepreneur dalam usaha meningkatkan kualiti pengusaha makanan, pengangkutan, pengurusan acara dan pelbagai.
Pengerusi Jawatankuasa Geokomuniti Lenggong Geopark, Datuk Seri Shamsul Anuar Nasarah berkata, modul berkenaan diperkenalkan selepas pelaksanaan modul GeoSchool di Lenggong yang juga pertama di negara ini.
Menurut beliau, program GeoEntrepreneur Lenggong Geopark itu dibangunkan bagi memberi latihan kepada pengusaha dalam pelbagai bidang termasuk penginapan dan makanan selain merangkumi aspek pengangkutan dan pengurusan acara bagi meningkatkan kualiti perkhidmatan, sekali gus menawarkan pengalaman terbaik kepada pelancong.
Usaha yang dijalankan dalam menaikkan imej Lenggong sebagai warisan arkeologi manusia purba dan warisan geologi selari dengan pelan Perak Sejahtera 2030 yang meletakkan kesejahteraan rakyat sebagai teras pembangunan negeri.
Bagi Lenggong, kejayaan sebenar tidak wajar diukur melalui jumlah pelancong semata-mata, tetapi melalui peluang pendapatan, pekerjaan, perniagaan dan keyakinan baharu yang dapat dirasai oleh masyarakat setempat.
Jika manfaat itu sampai kepada anak muda, ibu keluarga, pengusaha kecil dan komuniti kampung, maka pengiktirafan geopark benar-benar memberi makna kepada rakyat. -MG Perak


