PARIT BUNTAR – Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) sedang bekerjasama dengan persatuan-persatuan nelayan di Sabah untuk membawa masuk ikan dari negeri berkenaan ke Semenanjung.
Pengerusinya, Muhammad Faiz Fadzil berkata, ia bertujuan membantu nelayan di Sabah disamping membawa manfaat kepada penduduk semenanjung untuk menikmati harga ikan lebih murah.
“Di Sabah, harga ikan lebih murah, manakala di Semenanjung harga ikan lebih tinggi dan sebahagian bekalan juga diimport.
“Jadi kita mahu membantu nelayan di Sabah dengan membawa hasil tangkapan mereka ke Semenanjung dan pada masa yang sama, kita mahu memastikan rakyat di Semenanjung dapat menikmati harga ikan yang lebih murah,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas hadir ke Program Ramah Mesra MADANI Pengerusi LKIM Bersama Nelayan Perak Zon Utara di Sungai Betul Bawah, Tanjung Piandang, di sini, pada Rabu.
Hadir sama Pengarah LKIM Negeri Perak, Ahmad Zulkifli Ismail.

Ditanya mengenai jenis ikan yang dicadangkan untuk di bawa masuk ke Semenanjung, Muhammad Faiz berkata, perkara berkenaan belum diputuskan namun antaranya adalah ikan kembung dan bergantung kepada aspek logistik.
“Banyak jenis ikan, termasuk kembung dan pelbagai spesis lain. Perancangan sedang dibuat dan kita perlu melihat aspek logistik.
“Kita boleh menggunakan perkhidmatan pos atau penghantaran, dan sebenarnya program seperti ini pernah dilaksanakan sebelum ini,” katanya.
Media pada Februari lalu melaporkan Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) sedang mempertimbangkan untuk membawa masuk ikan dari Sabah ke Semenanjung secepat mungkin bagi menangani kenaikan harga hasil laut itu.
Menterinya, Datuk Seri Mohamad Sabu, berkata pihaknya akan mengadakan perbincangan dengan Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) supaya ikan dari Sabah dapat dibawa masuk segera ke Semenanjung.
Mohamad Sabu berkata, pihaknya serius dalam usaha menangani isu harga ikan di Semenanjung, terutama ‘ikan rakyat’ seperti kembung, pelata dan selar dapat dijual murah. -MG Perak


