PARIT BUNTAR – Bekalan ikan negara masih mencukupi untuk memenuhi permintaan domestik meskipun tangkapan hasil laut dijangka menurun hingga hujung tahun ini susulan sebahagian vesel laut dalam Zon C2 tidak beroperasi disebabkan kenaikkan harga diesel.
Pengerusi Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM), Muhammad Faiz Fadzil berkata, rakyat tidak perlu bimbang mengenai bekalan ikan kerana kadar Sara Diri (SSR) negara bagi sektor perikanan telah mencapai hampir 90 peratus.
“Jadi untuk keperluan rakyat memang cukup walau jumlah tangkapan dijangka menurun kerana kurang penglibatan nelayan vesel C2 yang masih belum menerima subsidi,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas hadir ke Program Ramah Mesra MADANI Pengerusi LKIM Bersama Nelayan Perak Zon Utara di Sungai Betul Bawah, Tanjung Piandang, di sini, pada Rabu.
Hadir sama Pengarah LKIM Negeri Perak, Ahmad Zulkifli Ismail.
Tambah beliau, LKIM telah mengemukakan cadangan kepada kerajaan agar mempertimbangkan pemberian subsidi diesel kepada pengusaha vesel C2 bagi meringankan beban mereka.
“Kita telah meminta kerajaan menyemak keperluan ini tetapi masih belum mendapat kelulusan,” katanya.
Beliau turut memaklumkan bahawa beberapa siri perjumpaan telah diadakan dengan pihak berkaitan termasuk golongan nelayan bagi membincangkan isu tersebut dan mencari penyelesaian terbaik.
Terdahulu media melaporkan pengeluaran ikan negara dijangka mengalami sedikit penurunan hujung tahun ini selepas sebahagian vesel laut dalam Zon C2 tidak dapat beroperasi akibat peningkatan mendadak kos diesel susulan krisis tenaga global.
Ketua Pengarah Perikanan, Datuk Adnan Hussain, berkata tekanan kos operasi menyebabkan sebahagian pengusaha vesel Zon C2 memilih untuk tidak turun ke laut buat sementara waktu kerana tidak lagi mampu menanggung kos bahan api yang tinggi.
Beliau berkata vesel Zon C2 yang beroperasi di kawasan melebihi 30 batu nautika dari pantai adalah kumpulan paling terkesan kerana tidak menerima subsidi diesel kerajaan seperti nelayan Zon A, B dan C. -MG Perak


