IPOH – Seramai lima penyelidik menerima Geran Penerbitan Perak Sejahtera 2030 daripada Institut Darul Ridzuan (IDR) berjumlah RM87,000.
IDR dalam satu kenyataan berkata, kesemua mereka dipilih melalui pemilihan yang dibuat sempena Perak Research Policy and Conference (PPRC) 2026 yang berlangsung pada 7 Mei lalu.
Katanya, penerima geran tersebut terdiri daripada penyelidik Universiti Malaya (UM), Universiti Sains Malaysia (USM), Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dan Universiti Teknologi MARA (UiTM), dengan setiap penyelidikan menerima peruntukan RM17,400.
“Pemilihan penerima geran dibuat daripada 334 kertas cadangan kajian yang diterima, dengan 40 daripadanya terpilih untuk sesi pembentangan semasa PPRC 2026.
“Penyelidikan yang terpilih merangkumi bidang strategik seperti transformasi digital, data raya dan kecerdasan buatan, ekonomi inklusif dan berdaya saing, kelestarian alam, daya tahan iklim, sekuriti makanan, tadbir urus serta keberkesanan penyampaian awam,” katanya.
Tambahnya lagi, geran berkenaan bertujuan menggalakkan penghasilan penyelidikan dan penerbitan ilmiah yang berkualiti, di samping memperkukuh pembangunan dasar berasaskan bukti serta menyokong agenda pembangunan Negeri Perak.
Sementara itu dalam kenyataan sama IDR turut mengiktiraf dan menghargai sumbangan penyelidik melalui Pertandingan Poster Penyelidikan Perak Sejahtera 2030 yang julung kali diadakan sebagai platform kepada penyelidik untuk membentangkan dapatan kajian dalam bentuk visual yang ringkas, jelas dan mudah difahami.
“Sebanyak 58 penyertaan diterima, dengan tiga karya terbaik dipilih berdasarkan kandungan penyelidikan, keaslian idea, kreativiti, kejelasan penyampaian serta potensi impak terhadap masyarakat, industri dan pembentukan dasar.
“Selain itu, lima pemenang Pertandingan Fotografi Perak Sejahtera 2030 bertemakan ‘Perak Sejahtera: Hasil Dirasa’ turut menerima penghargaan selepas pertandingan tersebut menarik 280 penyertaan dari seluruh negeri Perak sepanjang tempoh penganjurannya dari 6 April hingga 12 Mei 2026,” katanya.
Karya-karya yang dipertandingkan mengetengahkan pelbagai dimensi pembangunan negeri termasuk kesejahteraan komuniti, sekuriti makanan, pemeliharaan alam sekitar dan pembangunan sosioekonomi yang mencerminkan manfaat pembangunan yang dirasai rakyat selaras dengan aspirasi Perak Sejahtera 2030.
Terdahulu kesemua Geran Penerbitan Perak Sejahtera 2030, hadiah Pertandingan Poster Penyelidikan Perak Sejahtera 2030 dan hadiah Pertandingan Fotografi Perak Sejahtera 2030 itu disampaikan Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad. -MG Perak


