Penambahan Kolej Tingkatan Enam di setiap daerah perlu penelitian

IPOH – Perancangan menambah bilangan dengan mewujudkan Kolej Tingkatan Enam di setiap daerah di Perak memerlukan penelitian Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) serta Jabatan Pendidikan Negeri (JPN).

Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi, Belia dan Sukan Perak, Datuk Khairudin Abu Hanipah berkata, ia termasuklah aspek jumlah pelajar, penyuraian sekolah serta kesesuaian lokasi.

Menurut beliau, setiap cadangan perlu disertakan dengan justifikasi kukuh oleh JPN sebelum dikemukakan kepada KPM untuk pertimbangan.

“Pihak Jabatan Pendidikan perlu membuat justifikasi sebelum diangkat kepada Kementerian Pendidikan Malaysia supaya setiap sekolah yang nak diangkat sebagai Kolej Tingkatan Enam itu perlu ada asas yang kukuh dari segi jumlah dan penyuraian pelajar-pelajar yang terlibat.

“Sebab sebelum ini Kolej Tingkatan Enam adalah sekolah menengah harian biasa, maka proses penyuraian pelajar-pelajar tingkatan satu hingga lima itu perlu dibuat dengan lebih bijak, teratur dan tidak membebankan kepada para ibu bapa,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.

Khairudin berkata, jumlah pelajar Tingkatan Enam di sesebuah sekolah turut menjadi pertimbangan utama bagi memastikan penubuhan kolej berkenaan mampu meningkatkan enrolmen dan beroperasi dengan berkesan.

“Apabila diwujudkan Kolej Tingkatan Enam, kita menjangkakan pertambahan bilangan pelajar. Oleh itu, aspek kesesuaian lokasi dan kemudahan sedia ada perlu diteliti terlebih dahulu,” katanya.

Beliau berkata, setakat ini, Perak mempunyai tiga Kolej Tingkatan Enam iaitu Kolej Tingkatan Enam Tapah, Kolej Tingkatan Enam Seri Putera dan Kolej Tingkatan Enam Seri Ipoh yang menurut beliau telah menunjukkan pencapaian dan prestasi yang memberangsangkan.

“Ketiga-tiga Kolej Tingkatan Enam yang ada ketika ini menunjukkan keputusan yang agak merangsangkan.

“Jika ada keperluan untuk diwujudkan Kolej Tingkatan Enam di setiap daerah, kita akan menilai berdasarkan keupayaan, kesesuaian lokaliti serta penyuraian murid tingkatan satu hingga lima ,” katanya. -MG Perak

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI