KUALA LUMPUR – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) menegaskan MADANI Mart bukan inisiatif kerajaan sebaliknya sebuah jenama perniagaan peruncitan swasta dikendalikan melalui konsep pelesenan oleh Yayasan MADANI.
Menterinya, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, status operasi, jumlah cawangan, bilangan permohonan serta jumlah usahawan terlibat tidak berada di bawah rekod rasmi KPDN.
“MADANI Mart beroperasi melalui hubungan perniagaan antara Yayasan MADANI sebagai pemilik jenama dan entiti perniagaan yang dilantik sebagai pengendali.
“Justeru, kementerian tidak menyimpan data rasmi khusus berkaitan jumlah cawangan yang beroperasi, jumlah permohonan yang diterima mahupun bilangan usahawan yang terlibat,” katanya ketika sesi jawapan Menteri pada sidang Dewan Rakyat hari ini.
Beliau menjawab pertanyaan Datuk Rosol Wahid (Hulu Terengganu-PN) mengenai status terkini pelaksanaan MADANI Mart.
Selain itu, Armizan menjelaskan, walaupun tidak terlibat secara langsung dalam pengoperasian MADANI Mart, KPDN menjelaskan, terdapat dua aspek yang berkaitan dengan bidang kuasanya.
“Pertama, Yayasan MADANI didaftarkan melalui Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) di bawah Seksyen 45 Akta Syarikat 2016 sebagai syarikat berhad menurut jaminan.
“Kedua, mana-mana premis yang menjalankan aktiviti melibatkan barang kawalan berjadual diwajibkan mendapatkan Lesen Barang Kawalan Berjadual (CSA) mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961.
“Berdasarkan rekod KPDN, setakat ini hanya dua cawangan MADANI Mart memiliki lesen CSA yang didaftarkan atas nama operator masing-masing,” katanya lagi. – MalaysiaGazette


