GERIK – Program Jiwa Murni (PJM) Peringkat 4 Divisyen yang berlangsung di Kampung Bunga Hilir, Sungai Kejar di sini baru-baru ini dianjurkan sebagai memperkukuhkan hubungan antara Tentera Darat Malaysia (TDM) dan masyarakat setempat di luar bandar.
Program itu melibatkan penyertaan kira-kira 400 peserta terdiri daripada penduduk kampung, warga tentera, agensi kerajaan dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO).
Panglima 4 Divisyen, Mejar Jeneral Datuk Mohd Shauari Mat Piah berkata, pelaksanaan program berkenaan diharap dapat terus menjadi pemangkin kepada hubungan lebih erat antara TDM dan masyarakat.

“Program Jiwa Murni ini diharap dapat menyemai semangat kerjasama dan persefahaman antara tentera dan rakyat demi kesejahteraan serta keselamatan negara.
“Ia juga menjadi platform terbaik untuk meningkatkan keyakinan rakyat terhadap peranan dan tanggungjawab Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di samping menyemai semangat kebersamaan dan perpaduan,” katanya menerusi satu kenyataan.
Penganjuran PJM selaras dengan aspirasi serta Perintah Ulung Panglima Angkatan Tentera, Panglima Tentera Darat dan Panglima Medan Barat Tentera Darat yang menekankan kepentingan hubungan erat antara tentera dan rakyat menerusi pendekatan ‘Tentera Bersama Rakyat’.
Program itu merupakan sebahagian daripada inisiatif strategik Kementerian Pertahanan yang memberi penekanan kepada pengukuhan hubungan tentera-awam melalui pendekatan Gerak Saraf dan Perang Saraf (GSPS), selain memberi fokus terhadap aspek kebajikan, kesihatan dan kesejahteraan komuniti.

Kenyataan sama turut memaklumkan, pelbagai aktiviti dilaksanakan sepanjang PJM di Kampung Bunga Hilir termasuk pendidikan kesihatan dan pergigian, program kebajikan, gotong-royong, sukaneka serta kerja baik pulih kemudahan komuniti.
Katanya, Pegawai Kesihatan Daerah Pangkalan Hulu turut terlibat dalam sesi pemeriksaan kesihatan penduduk bagi memastikan masyarakat pedalaman mendapat akses kepada perkhidmatan kesihatan yang lebih baik.
“Program yang mengaplikasikan konsep Whole of Government dan Whole of Society (WOGOS) ini menekankan kerjasama menyeluruh antara agensi kerajaan, pihak swasta, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) serta masyarakat setempat dalam memperkasakan kesejahteraan komuniti.
“Pendekatan ini membuktikan bahawa usaha membangunkan masyarakat dan memperkukuh keselamatan negara merupakan tanggungjawab bersama yang memerlukan penglibatan pelbagai pihak secara bersepadu dan berterusan,” ujarnya.

Tambahnya, selain menyokong usaha kerajaan menyantuni komuniti pedalaman, program itu turut mendapat sokongan daripada Exco Kerajaan Negeri Perak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Temengor, Datuk Salbiah Mohamed.
Turut menjayakan program tersebut ialah wakil daripada Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) dan Persatuan Pelindung Harimau Malaysia (RIMAU) menerusi pelaksanaan pelbagai inisiatif kemasyarakatan serta pemeliharaan alam sekitar bersama komuniti setempat. – MG Perak
Artikel Berkaitan:


