APABILA disebut tentang ilmu falak, sebahagian masyarakat mungkin terbayang kepada cerapan anak bulan, teleskop, takwim atau kiraan waktu solat, namun hakikatnya, ilmu tersebut mempunyai hubungan yang amat rapat dengan kehidupan harian umat Islam.
Melalui ilmu falak, umat Islam dapat menunaikan solat mengikut waktu yang tepat, berpuasa dan berbuka dengan yakin, menyambut Ramadan, Syawal dan Zulhijjah berdasarkan hisab serta cerapan, selain menentukan arah kiblat secara tepat.
Walaupun ilmu falak tidak selalu disebut dalam perbualan harian, tetapi manfaatnya dirasai setiap hari dalam ibadah, takwim, susunan masa dan keyakinan kita melaksanakan tuntutan agama.
Dalam sejarah tamadun Islam, ilmu falak berkembang bersama matematik, geografi, pelayaran, penentuan waktu, penyusunan takwim dan pembinaan balai cerap.
Tokoh seperti Al-Biruni, Al-Battani, Al-Khwarizmi dan Ibn Yunus sering dikaitkan dengan tradisi ilmu yang menggabungkan ketelitian akal, kecintaan kepada ilmu dan kesedaran terhadap kebesaran Allah SWT.
Mereka mengkaji langit bukan untuk bermegah dengan pengetahuan, sebaliknya untuk memahami aturan alam, menyusun kehidupan umat dan memudahkan urusan ibadah, dari situ, falak mengajar manusia tentang ketepatan, kesabaran, amanah dan rasa tunduk kepada Allah SWT.

Dalam konteks Alam Melayu, perkembangan ilmu falak turut dipacu oleh peranan ulama dan ilmuwan yang menguasai bidang agama, matematik serta kaedah cerapan.
Pada masa sama, di Perak kita mempunyai hubungan sejarah yang penting melalui tokoh seperti Syeikh Tahir Jalaluddin, Abdullah Fahim dan Tuan Haji Khair Taib yang pernah menjadikan negeri ini antara medan pengembangan ilmu falak.
Pada peringkat nasional, perkembangan ilmu falak diperkukuhkan melalui peranan institusi mufti negeri, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), institusi pengajian tinggi, agensi penyelidikan dan agensi sains angkasa.
Di Perak, Bahagian Falak Jabatan Mufti Negeri memainkan peranan penting dalam memastikan urusan ibadah umat Islam berjalan secara teratur melalui penentuan arah kiblat, cerapan hilal, kajian isu falak dan syarak serta penyusunan maklumat berkaitan waktu ibadah.
Walaupun tugas tersebut kelihatan bersifat teknikal, kesannya amat besar terhadap keyakinan umat Islam dalam melaksanakan ibadah.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, penganjuran Bulan Falak wajar diperluaskan dan tidak hanya tertumpu kepada kelompok tertentu semata-mata.
Menurutnya, masyarakat perlu diberikan kefahaman bahawa ilmu falak sangat dekat dengan kehidupan harian serta mempunyai kaitan langsung dengan pelaksanaan ibadah.
“Penganjuran Bulan Falak ini amat wajar diperluas dan tidak harus berhenti sebagai acara bermusim atau program dalam kalangan kelompok tertentu sahaja.
“Sebaliknya ia menjadi ruang membuka mata masyarakat bahawa ilmu ini dekat dengan kehidupan, penting kepada ibadah dan bermanfaat kepada pembangunan pemikiran umat.
“Usaha memperluas kefahaman ini penting kerana minat masyarakat terhadap ilmu falak masih belum meluas.
“Ramai yang menganggap falak sebagai urusan pegawai agama atau ahli teknikal semata-mata, manakala sebahagian generasi muda melihatnya terlalu sukar kerana melibatkan kiraan, istilah, peralatan dan kaedah cerapan khusus.

“Cabaran ini perlu dijawab dengan pendekatan yang lebih hidup. Cerapan awam, pameran interaktif, klinik arah kiblat, bengkel takwim, program sekolah, program masjid, kerjasama universiti dan kandungan digital boleh menjadi jambatan untuk menjadikan falak lebih mesra masyarakat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada pelancaran Bulan Falak Peringkat Negeri Perak di sini baru-baru ini.
Saarani berkata, kerajaan negeri turut memberi perhatian terhadap usaha memperkukuhkan kemudahan falak di Perak secara lebih sistematik.
“Cadangan pembangunan Balai Cerap Negeri Perak sedang diperhalusi dengan Pantai Pasir Panjang, Segari di Manjung antara lokasi yang dikenal pasti memandangkan kawasan itu mempunyai kaitan dengan aktiviti cerapan hilal rasmi negeri.
“Perancangan ini melibatkan Jabatan Mufti Negeri Perak bersama agensi teknikal berkaitan, supaya kemudahan tersebut benar-benar memberi manfaat kepada umat, institusi pendidikan, penyelidik dan masyarakat umum,” ujarnya.
Dalam perkembangan berkaitan, beliau memaklumkan Perak turut mempunyai Balai Cerap Tan Sri Harussani di Institut Tanah dan Ukur Negara (INSTUN), Behrang yang dirasmikan Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah pada 3 Oktober 2023.

Beliau berpandangan Bulan Falak Peringkat Negeri Perak wajar dijadikan permulaan kepada gerakan celik falak yang lebih menyeluruh dengan membuka ruang kepada masyarakat untuk bertanya, mencuba, melihat, memahami dan menghargai kerja-kerja falak yang selama ini banyak membantu urusan ibadah umat Islam.
“Jaringan kerjasama antara Jabatan Mufti Negeri Perak, institusi pendidikan, universiti, sekolah, masjid, agensi sains dan komuniti pencinta falak perlu terus diperkukuhkan bagi melahirkan lebih ramai anak Perak yang meminati bidang tersebut.
“Lebih penting lagi, ilmu falak mengajar kita nilai ketelitian. Dalam menentukan waktu solat, tidak boleh dibuat secara sambil lewa.
“Dalam menentukan arah kiblat, tidak boleh bergantung kepada agak-agak. Dalam menentukan awal bulan, tidak boleh bersandar kepada sangkaan. Semua ini menuntut disiplin ilmu, amanah dan rasa tanggungjawab,” jelasnya.
Sehubungan itu, Saarani berharap Bulan Falak dapat menjadi platform berterusan dalam menyuburkan budaya ilmu, memperkukuh kefahaman umat dan melahirkan lebih ramai generasi celik falak yang berani meneroka bidang sains serta memahami hubungan antara ibadah, alam dan kebesaran Allah SWT. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
Perak pastikan warga emas kekal aktif, produktif selari agenda masyarakat menua


