Tiga pelajar Orang Asli pilih automotif mahu buka bengkel di kampung

SUNGAI SIPUT – Minat mendalam terhadap bidang penyelenggaraan dan pembaikan kenderaan mendorong tiga belia Orang Asli dari Perkampungan Orang Asli Kuala Mu di sini, melanjutkan pengajian dalam bidang teknologi automotif.

Ketiga-tiga mereka iaitu Hisham Busu, Muhammad Fahrin Farhan Desmen dan Amirul Longbee mengambil keputusan melanjutkan pengajian di Kolej Komuniti Sungai Siput (KKSS) dalam Program Sijil Teknologi Automotif.

KKSS dalam satu kenyataan berkata, keputusan keputusan untuk menyambung pengajian di KKSS dibuat atas kemahuan tiga pelajar berkenaan tanpa sebarang paksaan kerana minat yang mendalam terhadap bidang servis dan penyelenggaraan kenderaan ringan.

“Mereka melihat bidang automotif sebagai satu peluang untuk membina masa depan yang lebih baik, selain memperoleh kemahiran teknikal yang boleh dimanfaatkan untuk membantu keluarga dan komuniti setempat,” katanya.

Sementara itu, Hisham dalam kenyataan sama berkata, dia berharap dapat menguasai kemahiran membaiki dan menyelenggara kenderaan dengan baik sebelum meneruskan pengajian ke peringkat yang lebih tinggi.

“Saya bercita-cita untuk menyambung pengajian sehingga ke peringkat ijazah dan dalam masa yang sama ingin membantu keluarga serta masyarakat di kampung.

Saya mahu mempunyai kemahiran membaiki kereta sendiri dan suatu hari nanti membuka bengkel di kampung,” katanya.

Muhammad Fahrin Farhan pula menyifatkan bidang automotif sebagai satu bidang yang mempunyai prospek kerjaya yang luas dan sentiasa diperlukan oleh masyarakat.

“Saya memilih KKSS kerana lokasinya yang dekat dengan kampung. Ia memudahkan saya untuk pulang pada hujung minggu dan pada masa yang sama dapat mengikuti pengajian dalam bidang yang saya minati,” ujarnya.

Bagi Amirul, peluang melanjutkan pengajian di KKSS merupakan langkah pertama ke arah mencapai impiannya untuk menjadi tenaga mahir dalam bidang automotif dan membantu meningkatkan taraf hidup keluarganya.

Dia turut berharap dapat membuka bengkel sendiri pada masa hadapan bagi menyediakan perkhidmatan penyelenggaraan dan pembaikan kenderaan kepada penduduk setempat.

Pengarah Kolej Komuniti Sungai Siput mengalu-alukan kemasukan ketiga-tiga pelajar tersebut dan menyifatkan ia sebagai satu perkembangan positif dalam usaha memperluaskan akses pendidikan TVET kepada semua lapisan masyarakat termasuk komuniti Orang Asli.

Kejayaan mereka memilih laluan pendidikan kemahiran membuktikan bahawa TVET terus menjadi pilihan generasi muda yang ingin membina kerjaya berasaskan kemahiran dan kepakaran teknikal.

KKSS sentiasa komited menyediakan peluang pendidikan berkualiti serta melahirkan graduan yang berkemahiran tinggi, berdaya saing dan mampu menyumbang kepada pembangunan komuniti serta negara. -MG Perak

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI