IPOH – Sebanyak 1,248 kes denggi dengan satu kematian direkodkan di Perak sepanjang enam bulan pertama tahun ini.
Exco Sumber Manusia, Kesihatan, Hal Ehwal Masyarakat India dan Integrasi Nasional Perak, Datuk A Sivanesan berkata, jumlah ini menunjukkan peningkatan sebanyak 196 kes iaitu 18.6 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu sebanyak 1,052 kes.
Menurutnya, jumlah kes demam denggi yang dilaporkan pada Minggu Epidemiologi (ME) ke-24 tahun ini bagi tempoh 14 hingga 20 Jun meningkat sebanyak 81 kes berbanding 79 kes bagi tempoh sama tahun lalu.
“Satu kematian direkodkan membabitkan seorang lelaki berusia 53 tahun di Slim River pada 28 Januari lalu.
“Daerah Kinta merekodkan jumlah kes paling tinggi iaitu sebanyak 68 kes pada ME ke-24 diikuti Manjung merekodkan empat kes manakala daerah Kerian serta Larut, Matang dan Selama mencatat dua kes.
“Selain itu, daerah Batang Padang, Kuala Kangsar, Hilir Perak, Bagan Datuk dan Hulu Perak hanya merekodkan hanya satu kes manakala Kampar, Muallim dan Perak Tengah tidak merekodkan sebarang kes bagi tempoh tersebut,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media di Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini pada Khamis.
Dalam perkembangan berkaitan, Sivanesan turut memaklumkan terdapat 27 lokaliti wabak denggi dilaporkan pada tempoh sama.
“Daripada jumlah tersebut lima daripadanya adalah hotspot wabak denggi iaitu Kampung Baru Bemban, Pangsapuri Cherry, Taman Cempaka 3, Kampung Tengku Hussein Hujung dan Kampung Baru Kanthan,“ ujarnya.
Susulan itu, beliau telah meminta Jabatan Kesihatan Negeri Perak mengaktifkan semua Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) bagi mempergiatkan operasi turun padang bersama pasukan Komunikasi untuk Perubahan Tingkah Laku (COMBI) serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO) untuk mengenal pasti kawasan berisiko dan menjalankan kerja pembersihan.– MG Perak
Artikel Berkaitan:


