BEG tangan anyaman bukan sekadar pelengkap gaya, malah mampu menjadi medium memperkenalkan identiti budaya, kreativiti dan warisan kepada masyarakat.
Di sebalik setiap helaian anyaman yang disusun rapi, tersimpan nilai ketelitian, kesabaran serta kemahiran yang diwarisi secara turun-temurun.
Bagi pengusaha beg tangan anyaman, Sapinah Seli, 44, setiap produk yang dihasilkan bukan sekadar produk kraf, tetapi ia membawa identitinya sebagai anak kelahiran Serian, Sarawak yang kini menetap di Kampung Menderang, Sungkai di Tanjung Malim.

Menurutnya, kemahiran menganyam yang dipelajari sejak kecil daripada ibunya kini menjadi sumber pendapatan sampingan selepas suaminya, Sharim Hamid, menamatkan perkhidmatan sebagai anggota Tentera Darat Malaysia (ATM) selepas lebih 20 tahun berkhidmat.
Sapinah berkata, perusahaan itu mula diusahakan sejak 2005, namun berkembang lebih aktif bermula penghujung tahun lalu apabila beliau memberi lebih tumpuan kepada penghasilan seni kraf itu.

“Saya memang berkecimpung dalam seni anyaman sejak sekian lama, tetapi lebih aktif selepas suami bersara. Sekarang saya buat semuanya dari rumah dan dapat menerima tempahan dengan lebih konsisten.
“Alhamdulillah, apabila ada kemahiran seperti ini, kita boleh bekerja dari rumah sambil menguruskan keluarga. Orang minat dengan hasil tangan kita dan daripada situ, dapat juga menambah pendapatan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Program Kampung Menderang on Spotlight @ Perak Sejahtera 2030 anjuran pelajar Ijazah Sarjana Muda Komunikasi (Komunikasi Sosial), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), di Kampung Menderang, Tanjung Malim.

Warisan kraf dipadankan seni decoupage
Keistimewaan beg tangan anyaman yang dihasilkan Sapinah terletak pada penggunaan motif anyaman masyarakat Penan dari Sarawak yang diolah dalam bentuk lebih moden tanpa menghilangkan identiti asalnya.
Kata beliau, selain menghasilkan beg anyaman tradisional, beliau turut menggabungkannya dengan teknik ‘decoupage’, iaitu seni menghias dengan menampal potongan corak daripada tisu khas pada permukaan beg.
Menurut Sapinah, teknik berkenaan dipelajari ketika mengikuti kelas yang pernah dianjurkan semasa berada dalam komuniti keluarga tentera ketika suaminya masih dalam perkhidmatan.

“Mula-mula saya tengok orang buat dan rasa kagum kerana corak yang cantik itu sebenarnya datang daripada tisu khas. Ramai sangka ia dicetak terus pada beg, tetapi sebenarnya ia menggunakan teknik decoupage.
“Daripada situ saya belajar sedikit demi sedikit sehingga mampu menghasilkan sendiri dan gabungkan dengan anyaman tradisional Penan supaya nampak lebih menarik serta unik,” katanya lagi.
Sapinah berkata, selain hiasan corak decoupage, beliau turut menghasilkan beberapa variasi anyaman seperti kelarai atau menegak, polos dan sebagainya.
Tidak terhad kepada saiz biasa, Sapinah berkata, beliau juga ada menghasilkan beg anyaman bersaiz besar yang sesuai untuk membawa komputer riba.
Tambah beliau, penghasilan sesebuah beg anyaman mengambil masa sekitar dua hingga tiga jam, manakala beg yang lengkap dengan kemasan decoupage memerlukan tempoh sehingga dua hari bergantung kepada tahap kerumitan reka bentuk.
Hasil kreativiti daripada bahan tahan lasak
Meskipun berinspirasikan kepada anyaman tradisional, Sapinah memilih menggunakan tali polivinil klorida (PVC) khas untuk kraf sebagai bahan utama kerana lebih tahan lama serta mudah diperoleh berbanding rotan atau buluh.
“Rotan dan buluh sekarang susah hendak dapat, dan kalau ada pun, tidak ramai yang tahu memprosesnya. Oleh sebab itu saya gunakan tali PVC kerana lebih tahan lasak dan sesuai dijadikan beg anyaman.
“Pada kebiasaan, orang akan gunakan bahan ini untuk mengikat barang berat atau mengangkut hasil pertanian. Apabila kita olah dengan kreativiti, rupanya ia boleh jadi sebuah beg anyaman yang cantik dan tahan lama,” ujarnya.

Dari segi pendapatan, beliau mengakui hasil jualan beg anyaman masih bergantung kepada jumlah tempahan diterima, namun mampu menjana sekitar RM500 sebulan ketika menerima permintaan yang menggalakkan.
Beliau berkata, produknya turut dipasarkan secara dalam talian dengan bantuan rakan yang membuat siaran langsung di media sosial bagi memperkenalkan beg anyaman kepada pelanggan secara maya.
Mengulas tentang program, Sapinah berharap penyertaannya dalam Program Kampung Menderang on Spotlight dapat menjadi platform memperkenalkan hasil tangannya dengan lebih luas.

“Saya sangat bersyukur kerana pelajar UPSI banyak membantu memperkenalkan produk saya. Harapan saya, selepas ini lebih ramai orang di luar Perak mengenali beg anyaman ini.
“Ramai sudah kenal kek lapis Sarawak, tetapi beg anyaman ini masih belum meluas. Saya berharap suatu hari nanti warisan anyaman Penan ini dapat pergi lebih jauh dan menjadi kebanggaan bersama,” katanya lagi.
Usaha yang digerakkan Sapinah ini selari dengan agenda Pelan Perak Sejahtera 2030 yang diilhamkan Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad yang mana sektor perniagaan dan perkhidmatan menjadi antara teras kepada ekonomi daerah Muallim.
Malah ia juga bertepatan dengan Flagship Program Pembolehdayaan Modal Insan dan Pembelajaran Sepanjang Hayat iaitu Satu Warga, Satu Skil serta, Satu Keluarga, Satu Usahawan. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
Wakaf mesin dobi layan diri mudahkan waris pesakit, jana ekonomi masjid


