GOPENG – Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) telah membuka 20 pusat pengumpulan sementara (PPS) buah-buahan bermusim di seluruh Perak dalam usaha menangani lambakan durian tempatan sepanjang musim kemuncak pengeluaran ketika ini.
Pengarah FAMA Perak, Azleena Zainal Abidin berkata, pembukaan pusat berkenaan dilaksanakan bertujuan untuk memudahkan proses pengumpulan, pembersihan, penggredan dan pemasaran buah-buahan bermusim, khususnya durian.
Menurutnya, pelaksanaan itu bagi memastikan hasil pengeluaran usahawan dapat dipasarkan secara lebih cekap sekali gus meningkatkan pendapatan pekebun serta mengurangkan risiko lebihan buah semasa musim pengeluaran durian yang sedang memuncak.
“Selain itu, FAMA Perak turut memperluaskan rangkaian pemasaran durian menerusi Program Jualan Agro MADANI, Agrobazaar, jualan di pejabat kerajaan, kawasan perumahan serta pelbagai lokasi strategik lain di seluruh negara.
“Usaha ini membolehkan pengguna mendapatkan durian segar dan berkualiti pada harga berpatutan, di samping membantu usahawan memasarkan hasil mereka dengan lebih pantas, sistematik dan berkesan,” katanya.
Beliau berkata demikian menerusi kenyataan sempena Program Jualan Agro MADANI Mega di Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) Gopeng, di sini pada Sabtu.
Dalam pada itu, Azleena berkata, bagi mengatasi lebihan hasil serta meningkatkan nilai tambah produk, Pusat Operasi FAMA Perak turut mengambil inisiatif melaksanakan aktiviti pemprosesan pes durian sebagai salah satu strategi pemasaran dan penambahan nilai.
“Inisiatif ini memberi peluang kepada pekebun memasarkan durian kampung yang sukar dijual dalam bentuk segar, di samping mengurangkan kerugian akibat lebihan hasil.
“Melalui pemprosesan ini, durian dapat dihasilkan sebagai pes berkualiti yang mempunyai jangka hayat simpanan lebih panjang dan berpotensi dipasarkan kepada industri pemprosesan makanan, bakeri, pencuci mulut serta pasaran eksport,” jelasnya.
Katanya, sepanjang tempoh 9 Jun hingga 21 Jun lalu, FAMA Perak telah berjaya membantu memasarkan sebanyak 1,126 tan metrik (MT) durian dengan nilai jualan mencecah RM3,383,600.
“Pencapaian ini membuktikan keberkesanan jaringan pemasaran FAMA dalam memastikan hasil durian tempatan dapat disalurkan kepada pengguna secara efisien, sekali gus mengurangkan lambakan hasil di peringkat ladang dan memastikan pengusaha memperoleh pulangan yang lebih baik.
“FAMA Perak akan terus memperkukuhkan kerjasama strategik bersama usahawan, pengumpul, pemborong, peruncit serta agensi-agensi berkaitan bagi memperluaskan akses pasaran hasil pertanian tempatan.
“Usaha ini selaras dengan aspirasi FAMA untuk memperkasakan ekosistem pemasaran agromakanan negara, meningkatkan daya saing produk tempatan dan menjamin kesejahteraan komuniti pengeluar,” ujarnya. – MG Perak
Artikel Berkaitan:


