GOPENG – Golongan belia perlu lebih peka terhadap kepentingan mengawal ‘digital footprint’ atau jejak digital dan menjaga reputasi dalam talian dalam setiap kandungan yang dikongsi di media sosial.
Timbalan Pengarah Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) Perak, Faizul Azlee Ahmat berkata, ini kerana hal berkenaan berpotensi memberi kesan kepada masa depan seseorang individu.
Katanya, malah reputasi digital yang terbentuk melalui jejak digital menjadi aspek yang diberi perhatian termasuk bakal majikan.
“Reputasi digital yang terbentuk daripada jejak digital boleh memberi kesan kepada masa depan seseorang.
“Apabila syarikat menilai calon pekerja, mereka bukan sahaja melihat resume, malah turut meneliti kandungan yang pernah dikongsi di media sosial,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjadi panel forum khas sempena program ‘FOMO? No More!’ di Dewan Ibnu Sina, Sekolah Berasrama Penuh Integrasi (SBPI) Gopeng, baru-baru ini.
Program berkenaan merupakan anjuran pelajar Semester Dua Perhubungan Awam, Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media (FKPM), Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam dengan kerjasama SBPI Gopeng.

Menurut Faizul Azlee, perkembangan teknologi kecerdasan buatan (AI) juga perlu ditangani secara berhemah bagi mengelakkan penyalahgunaan yang boleh menjejaskan keselamatan digital masyarakat.
“Kita perlu menggunakan AI secara berhemah. Jika disalahgunakan, ia boleh mengelirukan masyarakat dan membuka ruang kepada jenayah digital,” katanya.
Pada masa sama, beliau turut mengingatkan bahawa trend ‘Fear of Missing Out’ atau bimbang ketinggalan (FOMO) yang semakin menular dalam kalangan pengguna media sosial sering mendorong seseorang berkongsi atau mempercayai sesuatu kandungan tanpa membuat semakan terlebih dahulu.
“Kecenderungan mengikuti trend akibat fenomena FOMO sering mendorong pengguna berkongsi atau mempercayai kandungan tanpa membuat semakan terlebih dahulu, sekali gus menjejaskan keselamatan digital masyarakat,” tambah beliau.
Program yang mendapat sokongan MCMC Perak itu dilaksanakan sebagai sebahagian daripada inisiatif ‘Service Learning Malaysia – University for Society’ (SULAM) bagi meningkatkan kesedaran generasi muda terhadap penggunaan media sosial secara beretika dan bertanggungjawab.
Lebih 300 pelajar Tingkatan Satu hingga Tingkatan Empat menyertai pelbagai aktiviti interaktif yang dirangka bagi memberi pendedahan berkenaan keselamatan digital, etika media sosial serta cabaran perkembangan teknologi AI.
Forum berkenaan turut mendapat sambutan menggalakkan apabila para pelajar aktif mengemukakan soalan berkaitan amalan penggunaan media sosial yang selamat, kepentingan menjaga identiti digital dan langkah berdepan cabaran era kecerdasan buatan. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
Karnival Cakna Digital, perluas literasi teknologi digital rakyat


