KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menafikan dakwaan terdapat negeri-negeri yang dianaktirikan dalam agihan peruntukan Kerajaan Persekutuan, sebaliknya menegaskan peruntukan disalurkan berdasarkan keperluan pembangunan dan kebajikan rakyat, bukannya jumlah hasil cukai yang dikutip.
Beliau berkata, dakwaan kerajaan mengamalkan layanan tidak adil terhadap negeri-negeri tertentu adalah tidak berasas kerana semua negeri-negeri menerima peningkatan peruntukan berbanding sebelum ini mengikut keperluan masing-masing.
“Tidak benar sama sekali tohmahan negeri-negeri tertentu dianaktirikan atau dipinggirkan.
“Kalau nak banding, saya nak tegaskan di sini bahawa Kerajaan Madani lah di mana peruntukan tertinggi untuk negeri-negeri seperti Kedah, Terengganu dan Kelantan, ketimbang sebelumnya.
“Kita pertahankan keputusan ini berdasarkan keperluan yang mendesak, termasuk projek tebatan banjir, menaik taraf lebuh raya dan jalan baharu, Projek Pan Borneo Sabah dan Sarawak, kemudahan bekalan air, saliran, pembasmian kemiskinan, sekolah serta pembangunan infrastruktur,” katanya pada Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Perdana Menteri (PMQT) di Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Datuk Seri Doris Sophia Brodi (GPS-Sri Aman) yang meminta penjelasan berhubung dakwaan peruntukan Kerajaan Persekutuan kepada kerajaan negeri tidak adil dan tidak mencukupi berbanding hasil yang dikutip.
Menurut Anwar, negeri seperti Kelantan, Kedah dan Terengganu menerima peruntukan jauh lebih tinggi berbanding hasil cukai yang disumbangkan kepada Kerajaan Persekutuan.
Katanya, purata hasil cukai Kelantan bagi tempoh 2023 hingga 2025 ialah RM946 juta, namun perbelanjaan Kerajaan Persekutuan di negeri itu mencecah RM8.9 bilion.
“Bagi Kedah pula, purata hasil cukai yang diterima Kerajaan Persekutuan ialah RM3.7 bilion, manakala perbelanjaan berjumlah RM9.5 bilion.
“Terengganu pula menyumbang sekitar RM2.2 bilion hingga RM2.4 bilion termasuk hasil minyak, namun menerima peruntukan RM7.8 bilion dalam tempoh yang sama,” katanya.
Mengulas mengenai Selangor dan Pulau Pinang, Anwar berkata kedua-dua negeri itu merupakan pengecualian kerana memiliki kedudukan ekonomi yang strategik serta menyumbang kutipan hasil cukai yang tinggi kepada Kerajaan Persekutuan.
Katanya, purata hasil cukai Selangor bagi tempoh 2023 hingga 2025 ialah RM43.6 bilion berbanding perbelanjaan Persekutuan sebanyak RM15 bilion, manakala Pulau Pinang menyumbang RM10.7 bilion dengan perbelanjaan RM7.9 bilion.
Beliau berkata, pendekatan kerajaan bukan berpandukan pulangan hasil semata-mata, sebaliknya mengambil kira keperluan pembangunan serta kesejahteraan rakyat di setiap negeri.
Dalam pada itu, Anwar turut menyifatkan persetujuan antara Kerajaan Persekutuan dan Sarawak berhubung pengurusan pelabuhan sebagai satu pencapaian bersejarah hasil rundingan yang menghormati semangat Perlembagaan Persekutuan.
Katanya, selepas mencapai persetujuan penyerahan hak pengurusan pelabuhan kepada Kerajaan Sarawak, kerajaan negeri itu menyerahkan bayaran tunai sebanyak RM1.8 bilion kepada Kerajaan Persekutuan.
“Ini merupakan rekod dalam sejarah kerana kali pertama sebuah kerajaan negeri menyerahkan cek tunai kepada Kerajaan Persekutuan hasil rundingan yang dibuat secara baik dan menghormati hak kedua-dua pihak,” katanya.
Sehubungan itu, Anwar menegaskan Kerajaan Madani akan terus mengekalkan pendekatan rundingan serta pengagihan peruntukan secara adil bagi memastikan tiada negeri dipinggirkan.
“Saya harap penjelasan ini dapat memadamkan tohmahan dan fitnah yang mengatakan negeri-negeri tertentu dianaktirikan atau dipinggirkan. Hakikatnya, kerajaan memberi peruntukan berdasarkan keperluan rakyat dan pembangunan negeri,” katanya. – MalaysiaGazette


