Setahun menanti, kanak-kanak empat tahun gembira bersunat

PARIT – Impian kanak-kanak lelaki berusia empat tahun untuk bersunat sejak setahun lalu tercapai selepas dia menyertai Majlis Berkhatan Beramai-ramai Madani Parit 2023, di sini pada Sabtu.

Malah gelagat Putra Adrien Farish Asman yang juga peserta paling muda pada program berkhatan itu mencuit hati apabila dia berlari menuju ke klinik selepas dimandikan dengan semburan air yang disediakan oleh pasukan Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Parit.

Ibu kepada Adrien Farish, Nur Farziatul Syarina Mohd Nazri berkata, anak kelimanya itu menunggu hampir setahun untuk disunat selepas melihat dua abang kembarnya berkhatan tahun lalu.

“Tahun lepas kedua-dua abangnya bersunat dan masa itu Adrien Farish mahu ikut sama tetapi ketika itu dia baru berusia tiga tahun dan masih kecil jadi saya dan suami memujukanya untuk tunggu tahun depan (2023).

“Jenuh kami pujuk masa itu, dia tetap mahu bersunat malah menangis dan dalam tempoh setahun dia sentiasa bertanya bila boleh sunat macam abang-abangnya,” katanya ketika ditemui pada program berkenaan di Dewan Terbuka Ngah Sagor, di sini.

Gelagat kanak-kanak bermain air yang disiram oleh anggota Bomba dan Penyelamat ketika Majlis Berkhatan Beramai-ramai Madani Parit 2023 sempena cuti sekolah di Dewan Terbuka Ngah Sagor, Parit. Foto, ABDULLAH YUSOF.

Menurut Nur Farziatul selain Adrien Farish, seorang lagi abangnya Putra Daniel Rayyan, 5, turut sama menyertai program berkhatan berkenaan, tetapi anaknya itu menunjukkan semangat dan keterujaan lebih daripada abangnya.

“Dari malam dia sudah riuh esok nak bersunat malah awal pagi sudah bangun sebab tidak sabar hendak bersunat dan pada masa sama nak mandi air semburan dari bomba,” katanya.

Bagi Muhamad Nazreen Azri, 31, bapa kepada pasangan kembar Muhammad Iqwan dan Muhammad Iqbal berkata, ini kali pertama dia membawa anak-anak mereka menyertai program berkhatan.

Bapa kepada pasangan kembar berusia lapan tahun itu berkata, pada mulanya kedua-dua anaknya itu memaklumkan bahawa mereka takut untuk bersunat namun selepas mendengar akan disunat beramai-ramai mereka berdua setuju.

Pasangan kembar tidak seiras, Muhammad Iqwan Muhamad Nazreen 8, (kiri) dan Muhammad Iqbal 8, bersemangat untuk berkhatan ketika Majlis Berkhatan Beramai-ramai Madani Parit 2023 sempena cuti sekolah di Dewan Terbuka Ngah Sagor, Parit. Foto, ABDULLAH YUSOF.

“Bila saya cakap program ini sunat beramai-ramai, ada kawan-kawan yang akan sunat sekali serta dapat mandi air dari jentera bomba mereka terus bersetuju.

“Alhamdulillah apabila dikejutkan dari tidur untuk bersunat mereka tidak menangis atau takut malah begitu teruja dan segalanya berjalan lancar,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Projek Majlis Berkhatan Beramai-ramai Madani Parit 2023, Sharmeela Banu Syed Abu Thahir berkata, serama 27 orang kanak-kanak berusia dari empat hingga sembilan tahun menyertai program berkenaan.

Menurut beliau, penganjuran program yang memasukin tahun ke empat itu bertujuan untuk membantu meringankan beban golongan miskin dan B40 di kawasan luar bandar.

“Kita tahu kos untuk berkhatan bagi seorang kanak-kanak lelaki di mana-mana klinik sekarang sekitar RM200 seorang, jadi kerana itu kita menganjurkan program seperti ini.

“Alhamdulillah dalam tempoh empat tahun program berkhatan beramai-ramai ini diadakan kami telah membantu lebih 200 kanak-kanak dari golongan miskin dan B40 bersunat secara percuma melalui sumbangan pelbagai pihak,” katanya. -MG Perak

Artikel Berkaitan:

Detik-Detik Cemas, Ceria Kanak-Kanak Berkhatan

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI