Parti Rafizi boleh pacu kerjasama BN-Pas pada PRU16 – Penganalisis

KUALA LUMPUR – Kemunculan Parti Bersama Malaysia (Bersama) yang dipimpin Datuk Seri Rafizi Ramli dilihat berpotensi menjadi pemangkin kepada kerjasama lebih erat antara Barisan Nasional (BN) dan Pas menjelang Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16), khususnya jika parti baharu itu berjaya memecahkan sokongan pengundi Pakatan Harapan (PH).

Penganalisis muda politik, Dr. Azizi Azizan berkata, tindakan Rafizi menyasarkan pengundi PH yang kecewa dengan Kerajaan Madani dijangka mengubah landskap persaingan politik, terutama di kerusi-kerusi marginal.

Menurutnya, berdasarkan senario Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, keputusan Parti Bersama bertanding di beberapa kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), khususnya di kawasan bandar dan separa bandar seperti Johor Bahru, Tebrau dan Iskandar Puteri, mampu memberi kesan besar terhadap corak pengundian.

Beliau yang juga graduan Sarjana Sains Politik dan Pentadbiran Perniagaan Universiti Utara Malaysia (UUM menambah, dalam sistem pilihan raya first-past-the-post, kewujudan parti yang menarik sokongan daripada penyokong PH berpotensi memecahkan undi blok pembangkang, sekali gus membuka ruang kepada BN memperoleh kelebihan di kerusi yang sebelum ini sukar dimenangi.

“Bagi UMNO dan BN, perkembangan ini merupakan satu kelebihan taktikal yang tidak boleh dipandang ringan. Pengundi yang sebelum ini menyokong PH tetapi kini berasa kecewa mempunyai saluran alternatif untuk meluahkan protes mereka.

“Akibatnya, undi yang lazimnya terkumpul kepada calon PH akan berpecah, menjadikan banyak kerusi marginal lebih kompetitif.

“Dalam keadaan sedemikian, BN hanya perlu memastikan jenteranya terus bersatu, kempen dijalankan secara tersusun dan sokongan akar umbi diperkukuhkan bagi memanfaatkan sepenuhnya perubahan landskap politik tersebut,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Mengulas kemungkinan kerjasama BN-Pas, Azizi berkata, kenyataan Pengarah Komunikasi UMNO, Datuk Lokman Noor Adam sebelum ini yang membayangkan kerjasama semula kedua-dua parti menunjukkan pendekatan politik lebih pragmatik berbanding sentimental.

Beliau berkata, sokongan tidak rasmi Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man yang dilaporkan menggesa ahli dan penyokong parti itu mengundi calon BN di kerusi yang tidak ditandingi Perikatan Nasional (PN) turut memberi isyarat positif ke arah kerjasama tersebut.

“Walaupun BN secara rasmi mengekalkan pendirian bertanding secara solo di semua 56 kerusi DUN Johor, sokongan di peringkat akar umbi seperti ini mampu memberi kelebihan besar kepada BN, khususnya di kawasan luar bandar, FELDA dan kawasan majoriti pengundi Melayu.

“Kerjasama ini memperlihatkan bahawa dalam politik semasa, keutamaan sesetengah pihak bukan lagi semata-mata soal gabungan politik, sebaliknya menentukan pihak yang dianggap paling berupaya mengekang pengaruh lawan,” katanya.

Dr. Azizi Azizan
Dr. Azizi Azizan

Dalam perkembangan sama, Azizi berpandangan dakwaan pemimpin PH bahawa kemunculan Parti Bersama akhirnya akan menguntungkan gabungan itu lebih bersifat usaha mengekalkan keyakinan penyokong.

Menurutnya, sebarang perpecahan undi dalam kalangan blok pembangkang sama ada melibatkan PH atau PN tetap memberi kelebihan kepada BN dalam sistem pilihan raya berasaskan majoriti mudah.

“Lebih-lebih lagi apabila wujud persepsi berlaku perbezaan pendekatan dalam kalangan parti PN sendiri, keadaan ini secara tidak langsung mengukuhkan imej BN sebagai pilihan yang lebih stabil dan tersusun.

“Kelebihan utama BN tetap terletak pada rekod pengalaman mentadbir serta keupayaannya menawarkan kestabilan politik yang menjadi harapan sebahagian besar rakyat Johor.

“Negeri ini mempunyai sejarah panjang bersama BN dan ramai pengundi masih menilai pengalaman pentadbiran sebagai faktor penting dalam menentukan pilihan mereka,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI