IPOH – Perak mengorak langkah ke hadapan apabila menjadi negeri pertama yang mewujudkan kios pemeriksaan kesihatan secara kendiri untuk orang ramai dengan menggunakan teknologi kecerdasan buatan (AI).
Projek rintis Kios Kesihatan Pintar ‘Sihat Al’ yang ditempatkan di Perak Techo-Trade Centre, Meru Raya di sini itu merupakan usaha yang digerakkan kerajaan negeri menerusi Digital Perak Corporation Holdings (Digital Perak) dengan kerjasama Syarikat Centre of Excellence for Extended Reality Technology Sdn. Bhd. (COEXRT Al).
Exco Komunikasi, Multimedia Dan Pertubuhan Bukan Kerajaan Negeri Perak, Mohd Azlan Helmi Helmi berkata, projek rintis yang berlangsung selama enam bulan itu disifatkan sebagai inisiatif serampang dua mata yang memberi manfaat kepada rakyat dan negeri.

Katanya, melalui usaha itu ia dapat membantu dalam rakyat mendapatkan perkhidmat pemeriksaan kesihatan dengan lebih mudah di samping dapat mengurangkan masalah kesesakan di hospital dan klinik kesihatan.
“Paling utama adalah kita dapat mengumpulkan data-data kesihatan rakyat yang penting untuk kerajaan negeri yang mana misalnya, kita dapat mengesan jumlah penghidap penyakit diabetes di sesuatu kawasan dan sebagainya.
“Selain akan diintegrasikan dengan Perak Integrated Command Center (PINOC) kelak, data yang diperoleh membantu kerajaan negeri dalam merangka perancangan-perancangan untuk langkah intervensi berkaitan kesihatan kepada rakyat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Majlis Peluncuran Smart Health Kiosk Sihat AI yang dirasmikan Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad di Perak Techno-Trade Centre, di Meru Raya di sini, pada Isnin.

Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri Perak, Datuk Ahmad Suaidi Abdul Rahim; Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNPk), Datuk Redza Rafiq Abdul Razak, Ketua Pegawai Eksekutif Digital Perak, Mohd Suhaimi Mohamad Tahir serta Pengerusi COEXRT Al, Datuk Seri Dr Sk Devamany.
Sihat AI merupakan kios pusat saringan kesihatan kendiri yang menggabungkan teknologi pintar serta AI dan kepakaran perubatan bagi memudahkan orang awam mendapatkan penilaian kesihatan secara lebih mudah dan pantas.
Platform berkenaan akan mengumpul dan menganalisis hasil ujian saringan kesihatan asas yang dijalankan pengguna untuk mengenal pasti trend kesihatan, indikator risiko serta memberikan cadangan kesihatan berasaskan kepada rekod yang diberikan.
Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad meninjau kiosk saringan kesihatan ketika hadir pada Majlis Peluncuran Sihat AI Smart Health Kiosk di Perak Techno Trade Centre (PTTC), Bandar Meru Raya, Ipoh, pada Isnin. Foto ANIQ NABILAFIQ ANUAR, 06 JULAI 2026.Mengulas lanjut Mohd Azlan berkata, keseluruhan ekosistem Kios Sihat Al mematuhi Akta Perlindungan Data Peribadi (PDPA) dengan data kesihatan pengguna dilindungi melalui sistem keselamatan digital yang ketat.
“Projek rintis ini juga akan turut dibantu oleh PKNPk yang mana sekiranya ia mendapat sambutan menggalakkan daripada kakitangan Perak Techno-Trade Centre dan penduduk sekitar, kita akan melihat potensi untuk diperluaskan ke daerah lain termasuk di kawasan luar bandar,” katanya.
Terdahulu Mohd Suhaim ketika berucap pada majlis berkata, pembangunan Sihat AI bukan sekadar menyediakan kemudahan pemeriksaan kesihatan kepada masyarakat, ia juga dilihat kepada usaha mewujudkan ekosistem kesihatan pintar yang membantu kerajaan negeri membuat keputusan tepat berasaskan fakta.

Kata beliau, antara jenis pemeriksaan yang boleh dilakukan di kios berkenaan adalah tekanan darah, kadar denyutan jantung, indeks jisim badan (BMI), tahap oksigen dalam darah, penilaian risiko kesihatan awal dan sebagainya.
“Pembangunan platform ini juga mengambil kira aspek pematuhan dan tadbir urus yang ditetapkan oleh pihak berkuasa berkaitan serta mendapat sokongan dan kerjasamą yang baik daripada Jabatan Kesihatan Negeri Perak,” ujarnya.

Pada majlis turut berlangsung pertukaran Memorandum Persefahaman (MOU) antara Digital Perak dengan Jabatan Kesihatan Negeri dan Menteri Besar Incorporated (MB Inc.).
MOU dengan Jabatan Kesihatan Negeri sebagai usaha memperkukuh agenda kesihtan digital negeri sementara MOU bersama MB Inc bagi meneroka pelaksanaan Kios Sihat AI secara berfasa.

Selain itu juga berlangsung sesi pertukaran Memorandum Perjanjian (MOA) antara Digital Perak dan COEXRT Al sebagai komitmen strategik dalam memacu pembangunan Ekosistem Kesihatan Pintar Perak. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
Mesyuarat MeDI dijangka bincang perincian kerangka AI di Perak



