Penyertaan Festival Filem Raintown meningkat hampir 48 peratus

TAIPING – Festival Filem Raintown merekodkan peningkatan penyertaan hampir 48 peratus apabila menerima 152 penyertaan bagi Pertandingan Filem Pendek pada tahun ini berbanding 103 penyertaan pada edisi tahun lalu.

Pengasasnya, Jacky Yeap berkata, perkembangan berkenaan menunjukkan bahawa acara berkenaan sebagai antara platform penting dalam perkembangan industri perfileman bebas negara.

Menurutnya, Festival Filem Raintown juga kini telah berkembang melangkaui identitinya sebagai acara komuniti di Taiping.

“Festival ini bukan lagi sekadar milik Taiping. Pembikin filem dari seluruh negara semakin mengenali ‘Raintown’ dan setiap tahun kami menyaksikan peningkatan dari segi jumlah serta kualiti penyertaan.

“Ia membuktikan festival ini semakin diyakini sebagai platform untuk memperkenalkan karya mereka,” katanya dalam satu kenyataan.

Daripada 152 penyertaan yang diterima, sebanyak 20 filem terbaik telah dipilih lima juri bebas sebagai finalis dalam lapan kategori anugerah sempena festival yang akan berlangsung di sini pada September nanti.

Finalis yang dipilih terdiri daripada pengarah profesional, pelajar jurusan perfileman, pembikin filem baharu serta peserta yang pernah menyertai pertandingan itu sebelum ini.

Dalam pada itu Jacky berkata, sokongan sektor korporat turut membantu kepada perkembangan penganjuran festival berkenaan, khususnya dalam memberi ruang kepada pembikin filem menghasilkan karya baharu.

“Apabila pihak Lebuhraya Pesisiran Pantai Barat (WCE) menyokong kami sejak tahun lalu, mereka percaya kepada visi festival ini sebelum ramai pihak melihat potensinya.

“Sokongan berterusan itu bukan sahaja memberi keyakinan kepada pihak penganjur, malah turut menyuntik semangat kepada pembikin filem muda untuk terus berkarya,” jelasnya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif WCE, Lyndon Alfred Felix berkata, pihaknya menyokong Festival Filem Raintown sebagai sebahagian daripada usaha memperkasa bakat tempatan dan memelihara warisan budaya.

“Kami percaya setiap perjalanan mempunyai kisah yang wajar dikongsikan. Kami berbangga dapat menyokong Festival Filem Raintown yang semakin mendapat pengiktirafan sebagai platform perfileman di peringkat nasional.

“Kami berharap bakat-bakat tempatan akan terus mengangkat kisah yang dekat dengan jiwa rakyat Malaysia, sekali gus merakamkan warisan dan keunikan komuniti di sepanjang koridor WCE,” ujarnya.

Pertandingan Filem Pendek Raintown 2026 menampilkan karya bagi kategori filem naratif, dokumentari, animasi dan sinema eksperimental menerusi tema pada edisi kali ini iaitu ‘After the Rain’ atau Selepas Hujan.

Festival filem berkenaan dianjurkan oleh WuBen Film Magazine dan Studio 1914 dengan sokongan strategik daripada WCE, selain mendapat sokongan kerajaan negeri Perak, People Of Remarkable Talents (PORT), Ahli Parlimen Taiping serta rakan industri. – MG Perak

 

Artikel Berkaitan:

4 filem Malaysia tersenarai dalam AIFFA tahun ini

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI