TAIPING – Kerjasama strategik antara Majlis Perbandaran Taiping (MPT), Bukit Merah Laketown Resort (BMLR) dan Bukit Merah Orang Utan Island Foundation (BMOUIF) bakal menjadi pemangkin baharu kepada ekosistem pelancongan Perak.
Yang Dipertua MPT, Mohamed Akmal Dahalan berkata, kerjasama yang dimeterai menerusi Memorandum Persefahaman (MoU) itu juga bakal menghubungkan beberapa produk pelancongan utama negeri, sekali gus meningkatkan tempoh penginapan pelancong serta merancakkan ekonomi setempat.
Beliau berkata, menerusi kerjasama itu, kesemua pihak terlibat akan berbincang bagi mewujudkan satu kerjasama yang lebih luas dengan memakejkan pelancongan Zoo Taiping bersama Bukit Merah Laketown Resort agar pelancong mempunyai lebih banyak pilihan destinasi apabila berkunjung ke Perak.
“Kami baru mengetahui Pulau Orang Utan menerima ramai pelancong antarabangsa yang datang melalui kapal persiaran yang berlabuh di Pulau Pinang. Mereka mempunyai pakej khas yang membawa pelancong terus ke pulau berkenaan.
“Bagaimanapun, apabila paras air Tasik Bukit Merah menyusut, pelawat tidak dapat dibawa ke pulau tersebut dan hanya dapat mengunjungi galeri orang utan. Sudah tentu pengalaman yang diterima tidak sama seperti lawatan ke pulau itu,” katanya

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas hadir ke Majlis Pemeteraian MoU di Zoo Taiping & Night Safari, di sini, pada Selasa.
Hadir sama Pengarah Bukit Merah Resort Sdn Bhd, Nazri Tumin dan Pengerusi BMOUIF Prof. Emeritus Datuk Dr Abdul Latif Mohamad.
Mengulas lanjut, Mohamed Akmal berkata, situasi itu mendorong pihak Bukit Merah mencadangkan supaya pelancong antarabangsa yang tidak dapat mengunjungi Orang Utan Island dibawa ke Zoo Taiping bagi melihat spesies berkenaan.
Katanya, cadangan tersebut kemudiannya diperluaskan kepada kerjasama yang lebih menyeluruh selepas kedua-dua pihak melihat potensi besar untuk mempromosikan produk pelancongan masing-masing secara bersama.
“Apabila pelancong datang ke Zoo Taiping, mereka bukan sahaja dapat melihat orang utan tetapi menikmati pelbagai tarikan lain yang terdapat di sini.

“Jadi kita berpandangan lebih baik diwujudkan kerjasama yang lebih luas dan tidak hanya tertumpu kepada pengurusan orang utan, sebaliknya melibatkan keseluruhan produk pelancongan di bawah MPT dan Bukit Merah Laketown Resort,” katanya.
Beliau turut berkata, kedua-dua pihak iaitu berhadapan dengan kekurangan jumlah pelancong di mana Zoo Taiping & Night Safari mempunyai kadar kedatangan pelancong asing yang rendah manakala BMLR pula berhadapan kekurangan pelancong tempatan.
Katanya, Zoo Taiping & Night Safari menerima kira-kira 626,000 pengunjung sepanjang tahun lalu dengan hanya sekitar 10 hingga 15 peratus terdiri daripada pelancong antarabangsa.
Jelasnya, justeru itu dengan kerjasama ini pihaknya berharap untuk menarik lebih ramai kehadiran pelancong antarabangsa ke Zoo Taiping & Night Safari.
“Jadi kalau kita buat pakej nanti setidak-tidak katakan kita sasar 20 hingga 30 peratus pelawat tempatan dari Zoo Taiping akan melawat ke Bukit Merah dan Pulau Orang Utan,” katanya. -MG Perak


