‘Caregiver’ di Perak mampu raih pendapatan hingga RM15,000 sebulan

IPOH – Bidang penjagaan warga emas berpotensi menjadi sumber pendapatan lumayan ekoran kejayaan peserta program Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) Penjagaan Warga Emas di Perak berjaya menjana pendapatan bulanan antara RM7,000 hingga RM15,000.

Exco Pembangunan Wanita, Keluarga, Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Usahawan dan Koperasi Perak, Datuk Salbiah Mohamed berkata, perkembangan itu membuktikan permintaan terhadap perkhidmatan penjagaan warga emas semakin meningkat, khususnya di Perak yang menuju status negeri menua.

Menurut beliau, pencapaian tersebut di luar jangkaan kerana pada awalnya program itu hanya bertujuan melahirkan tenaga kerja mahir dalam bidang penjagaan warga emas.

“Saya sendiri agak terkejut apabila ada dalam kalangan peserta yang telah memperoleh pendapatan bulanan antara RM7,000 hingga RM15,000.

“Kita ingatkan bidang ini tidak sampai ke tahap itu, tetapi rupa-rupanya permintaan terhadap penjaga warga emas sangat tinggi, khususnya di Perak yang memerlukan lebih ramai individu terlatih dalam bidang ini,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Makan Malam Santunan Kasih 2026, di MH Hotel di sini, pada Selasa.

Exco Pembangunan Wanita, Keluarga, Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Usahawan dan Koperasi Perak, Datuk Salbiah Mohamed ketika sidang media pada Majlis Makan Malam Santunan Kasih di MH Hotel, Ipoh, pada Selasa. Foto ANIQ NABILAFIQ ANUAR, 07 JULAI 2026.

Pada majlis itu, seramai 60 peserta menerima sijil tamat latihan bagi Program TVET Kursus Kaigo Lite: The Essence of Caregiving dan Kursus Penjagaan Warga Emas Pensijilan Profesional 2026.

Salbiah berkata, sehingga kini seramai 356 peserta telah berjaya dilatih sejak program Santunan Kasih diperkenalkan pada 2023 dengan kerjasama beberapa rakan strategik termasuk UNIKL RCMP, MASOC CARE, Sunshine Qualicare Sdn. Bhd. dan Retirement & Recreation Management Sdn. Bhd.

Katanya, walaupun peserta hanya menerima sijil tamat latihan dan bukannya akreditasi profesional, ia tetap membantu mereka menawarkan perkhidmatan kepada masyarakat.

“Ketika ini belum ada badan khusus yang mengiktiraf bidang penjagaan warga emas sama ada di peringkat negeri mahupun Persekutuan.

“Namun, sijil yang diberikan membolehkan mereka menawarkan perkhidmatan dan mendapat kepercayaan keluarga yang memerlukan penjaga warga emas,” katanya.

Salbiah berkata, setakat Disember 2025, sebanyak 66 peratus alumni peserta melaporkan kenaikan pendapatan bulanan dengan 25 peratus daripadanya berjaya meningkatkan pendapatan mereka melebihi dua kali ganda. -MG Perak

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI