Tiada akreditasi, Perak cadang angkat TVET penjagaan warga emas kepada KPT

BAGAN SERAI – Kerajaan Negeri Perak akan meneliti keperluan mewujudkan program TVET penjagaan warga emas yang diiktiraf secara rasmi dengan mengangkat cadangan kepada Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT).

Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi, Belia dan Sukan negeri, Datuk Khairudin Abu Hanipah berkata, ketika ini kursus penjagaan warga emas yang dilaksanakan menerusi Pusat Aspirasi Anak Perak (PASAK) merupakan program jangka pendek yang menawarkan sijil penyertaan dan tamat latihan.

“Untuk makluman, program penjagaan warga emas ini disasarkan melalui kursus jangka pendek yang ditawarkan oleh PASAK.

“Kita mengambil inisiatif ini kerana melihat penjagaan warga emas merupakan elemen yang cukup penting memandangkan ramai warga emas yang tinggal di kampung dan luar bandar memerlukan bantuan daripada segi penjagaan, kebajikan dan kesihatan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas hadir ke Majlis Perasmian Penutupan Karnival Sinergi Komuniti MADANI@Kolej Komuniti Bagan Serai, di sini pada Khamis.

Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi, Belia dan Sukan Perak, Datuk Khairudin Abu Hanipah hadir ke Majlis Perasmian Karnival Sinergi Komuniti MADANI di pekarangan Kolej Komuniti Bagan Serai, pada Khamis. Foto ANIQ NABILAFIQ ANUAR, 09 JULAI 2026.

Mengulas lanjut Khairudin berkata, kursus TVET penjagaan warga emas yang diperkenalkan kerajaan negeri sejak tiga tahun lalu mendapat sambutan menggalakkan daripada masyarakat.

Bagaimanapun, beliau mengakui program berkenaan masih belum mempunyai pengiktirafan rasmi sebagai kelayakan TVET memamandangkan pengiktirafan atau akreditasi bagi program berkenaan memerlukan kelulusan serta penelitian di peringkat KPT.

“Memang kita sudah ada sijil tamat latihan, tetapi dari segi pengesahan atau akreditasi, perkara itu perlu dibawa dan dibincangkan bersama Kementerian Pengajian Tinggi.

“Mungkin ada institusi pengajian tinggi yang boleh menawarkan program TVET khusus bagi penjagaan warga emas seperti kolej komuniti, politeknik dan Pusat GiatMARA sekiranya terdapat keperluan serta sokongan daripada pelbagai pihak,” katanya.

Beliau berkata, cadangan itu bagaimanapun memerlukan kajian menyeluruh bagi menilai keperluan industri serta kesesuaiannya untuk dijadikan salah satu bidang TVET negara.

Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi, Belia dan Sukan Perak, Datuk Khairudin Abu Hanipah hadir ke Majlis Perasmian Karnival Sinergi Komuniti MADANI di pekarangan Kolej Komuniti Bagan Serai, pada Khamis. Foto ANIQ NABILAFIQ ANUAR, 09 JULAI 2026.

“Tetapi perkara ini perlu dibuat kajian secara menyeluruh melibatkan semua agensi dan badan berkaitan supaya kita dapat melihat kepentingan serta keperluan sebenar untuk menjadikan penjagaan warga emas sebagai salah satu elemen TVET,” katanya.

Beliau berkata, perkara itu akan dibincangkan bersama Exco Pembangunan Wanita, Keluarga, Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Usahawan dan Koperasi negeri, Datuk Salbiah Mohamed sebelum dikemukakan kepada KPT.

“Kita akan bincang dan melihat keperluannya. Mungkin saya bersama Datuk Salbiah akan mengangkat permohonan ini kepada Kementerian Pendidikan Tinggi supaya mereka menilai sama ada cadangan ini relevan atau sebaliknya,” katanya.

Media sebelum ini melaporkan Salbiah memohon Kerajaan Persekutuan agar menyegerakan pembentukan blueprint ekosistem penjagaan warga emas termasuk mewujudkan badan akreditasi khusus bagi mengiktiraf bidang penjagaan warga emas yang kini semakin mendapat permintaan.

Menurutnya, ketika ini peserta program latihan penjagaan warga emas hanya menerima sijil tamat latihan kerana belum wujud badan akreditasi yang diiktiraf, termasuk di peringkat Persekutuan. -MG Perak

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI