IPOH – Seramai 120 ketua isi rumah serta belia asnaf mengikuti Program Latihan Kemahiran Asnaf TVET MAIPk dalam bidang Pemanduan Lori Bersendi dan Lori Kejur (Kelas E).
Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk) dalam hantaran di halaman Facebook miliknya itu memaklumkan program tersebut merupakan antara inisiatif strategiknya dalam melahirkan tenaga kerja berkemahiran tinggi yang mampu memenuhi keperluan industri logistik negara yang semakin berkembang.
Katanya, selain itu ia juga bertujuan meningkatkan taraf sosioekonomi golongan berkenaan.
“Melalui latihan komprehensif serta pensijilan profesional yang diiktiraf, peserta berpeluang meningkatkan kebolehpasaran, memperoleh pekerjaan yang lebih berkualiti selain menjana pendapatan secara mampan,” katanya.
Majlis Pelepasan Peserta program tersebut telah diadakan di Global City Driving Centre, Chemor yang merupakan pusat latihan memandu yang dilantik oleh MAIPk.
Program itu turut diisi dengan sesi taklimat serta perkongsian inspirasi oleh Pengurus Besar Bahagian Pemerkasaan Asnaf MAIPk, Amirudin Osman, bagi menyuntik semangat dan motivasi kepada peserta sebelum memulakan latihan.
Tambah MAIPk, usaha berkenaan mencerminkan komitmen berterusan institusi itu dalam memperkasa asnaf melalui pendidikan dan latihan teknikal serta vokasional (TVET) agar mereka mampu membina kerjaya yang lebih stabil dan berdaya saing.
Menurutnya, program tersebut bukan sahaja membuka peluang kepada peserta memperoleh kelayakan profesional, malah menjadi platform untuk meningkatkan mobiliti sosial dan ekonomi golongan asnaf.
“MAIPk mendoakan agar semua peserta berjaya menamatkan latihan, memperoleh kelayakan profesional yang ditetapkan dan seterusnya membina kerjaya cemerlang dalam industri logistik,” katanya. –MGPerak


