Warga MBI diingat tinggalkan legasi berintegriti, profesional

IPOH – Datuk Bandar, Zamakhshari Hanipah mengingatkan warga Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) yang masih berkhidmat agar menjadikan setiap hari dalam perkhidmatan sebagai peluang membina legasi berasaskan integriti, profesionalisme dan amanah.

Beliau berkata, apabila tiba masanya meninggalkan organisasi itu kelak, setiap warga kerja seharusnya dikenang kerana hasil kerja, akhlak dan sumbangan yang memberi manfaat kepada masyarakat.

“Apabila tiba masa untuk kita pula melangkah keluar daripada organisasi ini, biarlah kita meninggalkan nama yang disebut dengan rasa hormat, kerja yang menjadi rujukan dan akhlak yang menjadi teladan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Jasamu Dikenang Pesara Tahun 2025 di Pusat Konvensyen Ipoh, di sini pada Khamis.

Pada tahun ini, Program Jasamu Dikenang meraikan 71 orang penerima yang terdiri daripada 52 orang pesara wajib, 10 orang pesara pilihan dan 9 orang pesara yang telah meninggal dunia.

Zamakhshari turut merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua pesara atas sumbangan besar mereka dalam membantu membina kekuatan MBI sebagai sebuah organisasi pihak berkuasa tempatan yang terus berperanan memberi perkhidmatan kepada warga kota.

“Setiap kemudahan yang diselenggara, aduan yang diselesaikan, dasar yang dilaksanakan serta perkhidmatan yang sampai kepada masyarakat mempunyai jejak usaha para pegawai dan kakitangan yang pernah berkhidmat dalam organisasi ini.

“Di sebalik jalan yang lebih teratur, taman awam yang terpelihara, bandar yang lebih bersih, urusan pelesenan dan penguatkuasaan yang tersusun, hasil yang dikutip serta pembangunan yang dirancang, terdapat tenaga, masa dan kesungguhan warga kerja MBI,” katanya.

Pada masa sama, beliau menzahirkan penghormatan kepada sembilan pesara yang telah meninggal dunia serta menyampaikan penghargaan kepada ahli keluarga yang hadir mewakili mereka, sambil mendoakan agar segala jasa Allahyarham dan Allahyarhamah menjadi amal kebajikan yang berpanjangan.

“Persaraan bukan titik noktah kepada khidmat bakti, sebaliknya membuka ruang kepada para pesara untuk terus menyumbang kepada masyarakat melalui pelbagai bidang mengikut kemampuan masing-masing, selain mendoakan agar mereka sentiasa dikurniakan kesihatan, kebahagiaan dan kehidupan yang diberkati,” katanya. -MG Perak

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI