APC perkukuh budaya kerja cemerlang, lahir organisasi profesional, berintegriti

IPOH – Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) bukan sekadar pengiktirafan terhadap prestasi individu, sebaliknya menjadi simbol komitmen berterusan dalam memperkukuh budaya kerja cemerlang demi memastikan Pentadbiran Setiausaha Kerajaan Negeri Perak terus diyakini rakyat.

Setiausaha Kerajaan Negeri Perak, Datuk Ahmad Suaidi Abdul Rahim berkata, kecemerlangan sesebuah organisasi tidak dibina melalui pencapaian individu semata-mata tetapi menerusi budaya kerja yang berteraskan integriti, profesionalisme, semangat berpasukan dan iltizam untuk sentiasa memberikan yang terbaik.

Menurutnya, pengiktirafan yang diterima wajar disyukuri, namun pada masa yang sama ia membawa satu tanggungjawab yang lebih besar.

“Kita menjadi antara warga kerja yang akan terus diperhatikan, bukan sahaja melalui prestasi kerja, malah melalui sikap, integriti dan kepimpinan yang ditunjukkan dalam melaksanakan amanah.

“Mengekalkan kecemerlangan sentiasa lebih mencabar daripada mencapainya. Justeru, jadikanlah pengiktirafan ini sebagai dorongan untuk terus memperbaiki diri dan meningkatkan kualiti penyampaian perkhidmatan dari semasa ke semasa.

“Dalam masa yang sama, saya berharap pengiktirafan ini turut menjadi inspirasi kepada seluruh warga kerja yang lain.

“Kecemerlangan bukan milik segelintir individu, sebaliknya merupakan budaya yang perlu dibina dan diperkukuh secara bersama,“ katanya.

APC perkukuh budaya kerja cemerlang, lahir organisasi profesional, berintegriti
Setiausaha Kerajaan Negeri Perak, Datuk Ahmad Suaidi Abdul Rahim berucap pada Majlis Penyampaian Anugerah Perkhidmatan Cemerlang Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Perak Tahun 2025 di Bangunan Perak Darul Ridzuan, Ipoh, pada Isnin. Foto ANIQ NABILAFIQ ANUAR, 13 JULAI 2026.

Beliau berkata demikian kita berucap pada Majlis Penyampaian APC Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Perak 2025 di Dewan Bankuet Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini hari ini.

Majlis penyampaian anugerah itu disempurnakan Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad.

Ahmad Suaidi berkata, setiap penerima APC telah melalui proses penilaian yang teliti serta diperakukan oleh Panel Pembangunan Sumber Manusia jabatan masing-masing.

Katanya, pengiktirafan ini diberikan berdasarkan prestasi kerja, komitmen, integriti serta sumbangan yang telah diberikan sepanjang tahun 2025.

“Pada tahun ini, kita meraikan seramai 65 penerima APC daripada Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Perak, tujuh penerima daripada Pejabat Kewangan Negeri Perak serta, buat pertama kalinya, 3 penerima daripada Lembaga Pengurusan Sumber Air (LPSA) Perak.

“Penyertaan LPSA Perak dalam majlis ini mempunyai makna yang tersendiri yang mencerminkan perkembangan institusi di bawah Pentadbiran Setiausaha Kerajaan Negeri Perak serta iltizam kerajaan negeri untuk memperkukuh pengurusan sumber air secara lebih bersepadu dan mampan,” ujarnya. – MG Perak

Artikel Berkaitan:

67 penjawat awam Kerajaan Negeri Perak terima APC

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI