IPOH – Sistem Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) di politeknik dan kolej komuniti terus menunjukkan keberkesanannya apabila kadar kebolehpasaran graduan mencapai 98.6 peratus pada tahun lalu.
Pengarah Kanan (Akademik) Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti (JPPKK), Dr Mohd Daud Isa berkata, pencapaian itu mencerminkan keyakinan tinggi industri terhadap graduan TVET keluaran politeknik, selain menunjukkan peningkatan kepercayaan ibu bapa untuk menghantar anak ke institusi berkenaan.
Menurutnya, kadar kebolehpasaran graduan politeknik secara konsisten kekal melebihi 95 peratus setiap tahun.
“Kebolehpasaran pelajar TVET di politeknik adalah tinggi berdasarkan permintaan industri. Malah, pengambilan pelajar baru-baru ini merekodkan lebihan pelajar yang ditawarkan masuk ke politeknik.
“Ini menunjukkan satu kepercayaan daripada ibu bapa untuk menghantar anak-anak mereka ke institusi TVET terutamanya di politeknik,“ katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Perasmian Penutup Persidangan Nasional Pelajar Ijazah Sarjana Muda TVET ke-6 (NCTS) di Dewan Jubli Omar, Politeknik Ungku Omar (PUO) di sini hari ini.
Hadir sama, Pengarah PUO, Salmi Che Meh; Pengarah Pusat Penyelidikan dan Inovasi JPPKK, Shahiza Ahmad Zainuddin dan Pengarah Bahagian Khidmat Pengurusan JPPKK Cheah Chee Fong.
Mengulas sektor yang menawarkan peluang pekerjaan kepada graduan TVET, beliau berkata, permintaan tertinggi datang daripada beberapa industri utama yang terus berkembang antaranya hospitaliti, kulinari, kejuruteraan dan teknologi.
Katanya, JPPKK kini giat melaksanakan agenda TVET 3.0 dengan memperkukuh kurikulum selaras keperluan industri semasa dan masa depan.
Katanya, bidang baharu seperti kecerdasan buatan (AI), robotik, pendigitalan (Digital) dan teknologi hijau (Green) akan terus diperkasakan bagi memastikan graduan memiliki kemahiran yang relevan.
“Ini adalah bidang baharu yang kita akan masukkan dalam kurikulum untuk diterapkan dalam pengajian di politeknik supaya pelajar-pelajar yang tamat pengajian nanti tahu bidang-bidang ini untuk industri masa kini.
“Kita perlukan ekonomi mampan dan pembangunan mampan, jadi kita ada Green, AI dan Digital. Semua ini adalah perkara yang perlu pelajar tahu untuk TVET masa hadapan dan masa sekarang,“ ujarnya.
Dalam pada itu, beliau berkata, pendedahan kepada teknologi digital turut menjadi antara faktor yang meningkatkan kebolehpasaran graduan politeknik.
Jelasnya, JPPKK melalui Bahagian Instruksional dan Pembelajaran Digital (BIPD) memberi tumpuan kepada pembangunan ekosistem pembelajaran digital dengan penyediaan pelbagai kemudahan moden di politeknik.
“BIPD ini fokus terutamanya untuk persekitaran pembelajaran digital. Kita telah bekalkan makmal-makmal digital untuk digunakan di politeknik melalui BIPD tadi. Kita sediakan AR (Augmented Reality), VR (Virtual Reality), smartboard dan makmal-makmal digital yang lain.
“Di samping itu, apabila kita beri kemudahan ini, kita minta mereka gunakan dengan sepenuhnya. Pada setiap tahun, kita ada pertandingan yang dipanggil e-DOLA (Pembelajaran Digital Politeknik dan Kolej Komuniti) iaitu pertandingan membangunkan bahan digital dalam pembelajaran.
“Dari situ mereka (pelajar) akan bangunkan bakat untuk pembangunan digital dalam pembelajaran dan juga dalam projek-projek mereka,“ katanya. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
ExKIP bantu graduan politeknik capai 95 peratus kebolehpasaran


