IPOH – Situasi penyebaran ajaran yang bercanggah dengan ajaran Islam atau ajaran sesat di Perak masih berada dalam keadaan terkawal serta sentiasa dipantau pihak berkuasa agama negeri.
Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, kerajaan negeri tidak pernah berdiam diri sebaliknya setiap laporan yang diterima berada dalam pengetahuan pihak berkuasa untuk tindakan sewajarnya.
Katanya, Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah selaku Ketua Agama Islam Negeri turut dimaklumkan mengenai perkembangan berkaitan isu berkenaan.
“Kita tahu mengenai isu itu dan laporan berkenaan isu itu pun kita tahu. Hendak kata kita biarkan? Tidak. Memang ia berada dalam pengetahuan kita.
“Malah, saya bersama Timbalan Mufti Perak, (Datuk Zamri Hashim) dan Pengarah Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk), (Datuk Harith Fadzilah Abdul Halim) baru-baru ini telah dipanggil menghadap untuk menyembah maklum berkenaan isu ini kepada baginda,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada Majlis Perasmian Halaman Suri Sejahtera Negeri Perak, di Taman Lapangan Terbang, di sini, pada Khamis.
Hadir sama, Exco Pembangunan Wanita, Keluarga, Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Usahawan dan Koperasi Negeri Perak, Datuk Salbiah Mohamed.
Mengulas lanjut Saarani berkata, setiap aduan yang diterima daripada orang ramai berhubung dakwaan sesuatu ajaran yang menyimpang daripada ajaran Islam akan disiasat lanjut oleh oleh JAIPk dan Jabatan Mufti Negeri.
Saarani berkata, perkembangan berkaitan perkara itu turut sentiasa diambil serius dan lazimnya akan dibentangkan dalam mesyuarat Jawatankuasa Keselamatan Negeri yang dipengerusikan oleh beliau.
“Dalam jawatankuasa itu, Pengarah JAIPk dan Timbalan Mufti sentiasa melaporkan perkembangan kepada saya.
“Apabila terdapat aduan atau keraguan daripada orang ramai berkaitan sesuatu tingkah laku yang dikatakan ajaran sesat atau berbeza dengan ajaran Islam sebenar, JAIPk dan Jabatan Mufti akan turun padang untuk membuat siasatan.
Tambah Saarani lagi, kaedah siasatan yang dijalankan diserahkan kepada agensi berkaitan dalam mengendalikan kes mengikut bidang kuasa masing-masing.
Persidangan Dewan Rakyat pada Khamis dimaklumkan, penyebaran ajaran sesat di alam maya serta secara tertutup atau berselindung di sebalik program lain menjadi antara cabaran utama dalam usaha mengekang fahaman yang menyeleweng daripada pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah di negara ini.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr. Zulkifli Hasan dilaporkan berkata, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dengan kerjasama Jabatan Agama Islam Negeri (JAIN) sentiasa proaktif, konsisten dan tegas dalam memantau serta mengambil tindakan terhadap mana-mana doktrin yang didapati menyeleweng. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
Sultan Nazrin titah isu GISBH, ajaran sesat ditangani ke akar umbi


