IPOH – Kerajaan Perpaduan di Perak yang dibentuk melalui kerjasama antara Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) berikrar untuk terus mentadbir dan berkhidmat sehingga tamat penggal Dewan Undangan Negeri (DUN).
Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, ketika ini semua anggota pentadbiran negeri yang melibatkan wakil rakyat daripada dua gabungan itu sepakat untuk terus melaksanakan tanggungjawab masing-masing sehingga DUN dibubarkan kelak.
Katanya, perkara itu dipersetujui secara bersama dalam kalangan barisan Exco yang mana ia dibangkitkan sebelum mesyuarat Exco Kerajaan Negeri berlangsung, pada Rabu.
“Semalam sebelum mesyuarat Exco bermula, selepas DAP mengumumkan mereka keluar daripada Kerajaan Perpaduan di Melaka, saya duduk dengan bersama dengan barisan Exco.
“Secara terus-terang saya tanya, adakah apa yang berlaku di Melaka akan berlaku di Perak, dan sehingga semalam jawapannya (respon Exco DAP) tidak berlaku,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada Majlis Perasmian Halaman Suri Sejahtera Negeri Perak, di Taman Lapangan Terbang, di sini, pada Khamis.
Hadir sama, Exco Pembangunan Wanita, Keluarga, Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Usahawan dan Koperasi Negeri Perak, Datuk Salbiah Mohamed.
Saarani diminta mengulas berkenaan keputusan DAP di Melaka yang mengumumkan keluar daripada pentadbiran kerajaan negeri dan melepaskan semua jawatan yang disandang dalam pentadbiran, termasuk jawatan Exco.
Media melaporkan, tindakan itu menyusul selepas DUN Melaka meluluskan rang undang-undang pindaan perlembagaan untuk menambah tujuh ADUN lantikan.
Mengulas lanjut, Saarani yang juga Pengerusi BN Perak berkata, meskipun terdapat perbezaan pandangan antara parti di negeri ini, Kerajaan Perpaduan di Perak masih mampu berfungsi dengan baik demi kepentingan rakyat.
“Kita berikrar (untuk terus berkhidmat) oleh kerana masa yang kita ini masih panjang, dan apa yang akan berlaku selepas pembubaran DUN nanti itu cerita lain.
“Barangkali ada perbezaan pendapat dan juga perbezaan cara pendekatan. Ada orang bersuara kuat, ada orang bersuara perlahan, ada orang suara kuat tetapi hatinya baik, jadi berbagai-bagai. Tapi di Perak ini, saya rasa tak ada masalah itu,” ujarnya lagi.
Dalam pada itu, Saarani turut mengingatkan semua pihak agar tidak membawa perbezaan politik ke tahap yang boleh menjejaskan hubungan sesama manusia.
Jelas beliau, setiap pihak perlu menjaga tutur kata agar tidak menyinggung perasaan mana-mana pihak demi mengekalkan keharmonian dalam kerjasama politik sedia ada.
Pada tahun 2022, menyaksikan BN Perak bersetuju menjalinkan kerjasama dengan PH bagi membentuk kerajaan negeri dengan gabungan majoriti mudah 33 kerusi daripada keseluruhan 59 kerusi DUN.
Ia berikutan keputusan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) yang menyaksikan PH berjaya menenangi 24 kerusi dan BN sembilan kerusi manakala Perikatan Nasional (PN) mendapat 26 kerusi. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
Lantik semua wakil parti Kerajaan Perpaduan ke Kabinet demi kestabilan


