Akreditasi MS ISO/IEC 17025 angkat TML sebagai makmal analisis REE bertaraf antarabangsa

IPOH – Terra Mineral Lab Sdn Bhd (TML), anak syarikat milik penuh Menteri Besar Incorporated Perak (MB Inc), menerima akreditasi MS ISO/IEC 17025:2017 di bawah Skim Akreditasi Makmal Malaysia daripada Jabatan Standard Malaysia pada Jun lalu.

Akreditasi tersebut mengiktiraf keupayaan TML dalam menyediakan perkhidmatan analisis mineral yang tepat dan boleh dipercayai mengikut piawaian antarabangsa, khususnya bagi analisis unsur nadir bumi (REE).

Ketua Pegawai Eksekutif MB Inc, Datuk Anuar Zainal Abidin berkata, pencapaian itu adalah satu langkah penting dalam membangunkan kepakaran tempatan selain memperkukuh ekosistem industri mineral di negeri ini.

“Pengiktirafan bertaraf antarabangsa ini mencerminkan kesungguhan TML mematuhi piawaian yang ditetapkan, selain memperkukuh kedudukan Perak sebagai hab penyelidikan REE yang berdaya saing di peringkat negara.

“Pencapaian ini sekali gus mengangkat TML sebagai makmal analisis REE bagi bahan karbonat nadir bumi atau rare earth carbonate (REC) yang berkeupayaan menganalisis, mengenal pasti dan menentusahkan pelbagai kandungan mineral, khususnya REE,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Dalam pada itu, beliau berkata, akreditasi tersebut turut meningkatkan keyakinan pemain industri terhadap perkhidmatan analisis yang disediakan TML, di samping menyokong usaha mengurangkan kebergantungan kepada makmal luar negara.

“Keupayaan ini membolehkan proses analisis dan penentusahan kandungan mineral dilaksanakan secara tempatan dengan tahap ketepatan tinggi yang turut menyokong penyelidikan, pembangunan industri serta pelaksanaan agenda Perlombongan Bertanggungjawab,” katanya.

Operasi TML disokong oleh tiga instrumen analisis berteknologi tinggi iaitu Inductively Coupled Plasma Mass Spectrometry (ICP-MS), Wavelength Dispersive X-Ray Fluorescence (WD-XRF) dan Micro X-Ray Fluorescence (Micro-XRF).

Penubuhan TML pada 2024 adalah inisiatif kerajaan negeri menerusi MB Inc bagi membina keupayaan tempatan dalam analisis kandungan mineral, mengurangkan kebergantungan kepada makmal luar dan memperkukuh keseluruhan rantaian nilai industri mineral.

Pada masa sama, penubuhan makmal itu turut melengkapkan peranan Pusat Kecemerlangan Penyelidikan Mineral (CoE) serta menyokong pertumbuhan sektor mineral bernilai tinggi selaras dengan aspirasi Perak Sejahtera 2030.

TML bersama CoE telah dirasmikan oleh Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad pada 3 Oktober 2024 di Kawasan Perindustrian Gopeng sebagai sebahagian daripada usaha kerajaan negeri membangunkan industri mineral secara tersusun dan bertanggungjawab.

Pada 8 Disember tahun sama, Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah dan Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim berkenan melawat TML bagi meninjau operasi makmal analisis unsur nadir bumi bukan radioaktif (NR-REE) pertama di Malaysia. – MG Perak

Artikel Berkaitan:

Sultan Perak lawat makmal analisis mineral pertama Malaysia

Perak pacu revolusi mineral negara menerusi TML

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI