IPOH – Tiga rakan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Ipoh, pada Jumaat atas pertuduhan terlibat dalam kejadian samun bersenjata di sebuah kedai runcit di Taman Klebang Ria, Chemor pada 31 Mei lalu.
Tertuduh, S. Barani Tharan, 33; Yuvaneswara, 30; dan M. Suntaresswaran, 28, masing-masing membuat pengakuan berkenaan selepas pertuduhan dibacakan serentak di hadapan Hakim Ainul Shahrin Mohamad.
Mengikut pertuduhan, ketiga-tiga tertuduh didakwa melakukan rompakan berkumpulan menggunakan senjata parang ke atas harta milik Phon Tuck Kei, 34, iaitu wang tunai RM850, sebuah tab jenama Redmi serta sebuah telefon bimbit jenama Vivo.
Kesalahan tersebut dilakukan tertuduh di sebuah kedai di Jalan Klebang Ria 2, Taman Klebang Ria pada jam 5.55 pagi, 31 Mei 2026.
Bagi kesalahan berkenaan, ketiga-tiga mereka dituduh mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan, jika sabit kesalahan.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, M. Raveenaa tidak menawarkan jaminan kerana kesalahan yang dilakukan ketiga-tiga tertuduh merupakan kesalahan tidak boleh dijamin.
Bagaimanapun kata beliau, sekiranya mahkamah membenarkan ikat jamin, beliau mencadangkan wang jaminan sebanyak RM20,000 bagi setiap tertuduh.
“Mahkamah juga dimohon untuk mengenakan syarat tambahan iaitu setiap tertuduh melapor diri di balai polis berhampiran sebulan sekali, diikat jamin oleh seorang warganegara Malaysia dan tidak mengganggu pengadu dan saksi pendakwaan sehingga kes selesai,” katanya.
Sementara itu, peguam yang mewakili ketiga-tiga tertuduh, K. Nahtan, memohon mahkamah agar membenarkan jaminan RM4,000 bagi setiap tertuduh dengan alasan anak guamnya yang bekerja sebagai buruh kasar mempunyai tanggungan isteri dan ibu bapa.
Mahkamah kemudian membenarkan setiap tertuduh diikat jamin sebanyak RM4,000 dengan seorang penjamin di samping menetapkan 18 Ogos depan sebagai tarikh sebutan semula kes.
Terdahulu tular di media sosial rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang memaparkan tindakan dua lelaki bersenjatakan parang yang memasuki sebuah kedai sebelum melarikan beberapa barang termasuk milik mangsa. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
Polis yakin suspek samun bersenjata di Klebang Ria masih berada dalam negara


