IPOH – Politeknik Ungku Omar (PUO) berjaya meraih pingat emas serta tempat ketiga bagi Bidang Inovasi Penyampaian Perkhidmatan pada Konvensyen Horizon Baharu Kumpulan Inovatif dan Kreatif (HBKIK) 2026 Peringkat Kebangsaan.
Kejayaan itu diraih menerusi Pasukan EMERCE daripada Jabatan Perdagangan pada konvensyen yang berlangsung di Politeknik Seberang Perai, Pulau Pinang dari 13 hingga 15 Julai lalu.
Ia dicapai menerusi pembangunan e-Rubric, iaitu sistem penilaian digital berasaskan rubrik yang dibangunkan bagi memperkasakan proses penilaian akademik supaya lebih sistematik, telus, cekap dan berkualiti, sekali gus menyokong agenda pendigitalan penyampaian perkhidmatan di institusi Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).
Pasukan EMERCE dianggotai Hashamuddin Yaakob, Nor Husna Shafini Nor Bashah, Siti Aishah Ali, Haszlina Hashim, Noor Rahayu Mohd Salleh dan A Thilagavathy.
HBKIK merupakan platform tahunan Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti (JPPKK) bagi mengiktiraf projek inovasi serta amalan terbaik yang mampu meningkatkan kualiti penyampaian perkhidmatan di samping memperkasa budaya inovasi dalam kalangan warga politeknik dan kolej komuniti di seluruh negara.
Sementara itu, Pengarah PUO, Dr. Salmi Che Meh berkata, pencapaian itu membuktikan warga institusi berkenaan bukan sahaja cemerlang dalam bidang akademik, malah berupaya menghasilkan inovasi yang memberi impak tinggi kepada organisasi dan sistem pendidikan negara.
“Kejayaan ini merupakan manifestasi budaya inovasi yang sentiasa dipupuk dalam kalangan warga PUO serta mengukuhkan reputasi sebagai peneraju inovasi TVET.
“Inovasi seperti e-Rubric bukan sekadar meningkatkan kecekapan penyampaian perkhidmatan, malah mencerminkan keupayaan pensyarah menghasilkan penyelesaian digital yang relevan dengan keperluan semasa.”
“Saya berharap kejayaan ini menjadi pemangkin kepada lebih banyak inovasi berimpak tinggi demi memperkukuh kecemerlangan TVET negara,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.
Menurut beliau, kejayaan itu juga selaras dengan aspirasi PUO sebagai Politeknik APEX yang sentiasa memperkasakan budaya inovasi, kreativiti dan penambahbaikan berterusan dalam melahirkan graduan serta warga kerja yang kompeten, berdaya saing dan berfikiran futuristik.
“PUO akan terus komited memperkasa penyelidikan, inovasi dan pendigitalan selaras dengan agenda transformasi pendidikan tinggi negara serta usaha memperkukuh ekosistem TVET yang berkualiti dan mampan,” katanya lagi. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
PUO juara keseluruhan POLYCC Cyber Warrior 2026


