Kutipan cukai tanah cecah 55 peratus, PTG Perak yakin capai RM750 juta

BAGAN DATUK – Kerajaan negeri menerusi Pejabat Tanah dan Galian (PTG) Perak menyasarkan kutipan hasil sebanyak kira-kira RM750 juta menerusi Pakej Prihatin Rakyat 2026 sebelum tempoh tawaran itu berakhir pada 30 September depan.

Pengarah PTG Perak, Datuk Mohamad Fariz Mohamad Hanip berkata, sasaran berkenaan mampu dicapai berdasarkan kutipan semasa setakat Julai berjaya melepasi 55 peratus hasil sambutan menggalakkan daripada pemilik tanah di negeri ini.

Menurut beliau, tempoh pembayaran cukai tanah juga dilanjutkan daripada 31 Mei kepada 30 September selepas kerajaan negeri mengambil kira beban kewangan yang dihadapi rakyat serta isu hak milik tanah yang berisiko terjejas jika cukai gagal dijelaskan.

“Kalau ikutkan, tempoh asal pembayaran berakhir pada 31 Mei dan mulai 1 Jun sepatutnya sudah dikenakan denda.

“Tetapi kita memahami keluh kesah rakyat dan mengambil kira isu semasa, termasuk kebimbangan hak milik tanah sedia ada boleh hilang atau terbatal jika cukai tidak dibayar,” katanya.

eliau berkata demikian ketika ditanya pada sidang media sempena Program MESRA Hari Bertemu Pelanggan Kerajaan Negeri Perak Siri 5 Tahun 2026 di Dewan Dato’ Lope Hashim, baru-baru ini.

Pengarah Pejabat Tanah dan Galian Negeri Perak, Datuk Mohamad Fariz Mohamad Hanip ketika sidang media pada Program MESRA Hari Bertemu Pelanggan Kerajaan Negeri Perak Siri Lima Tahun 2026 di Dewan Dato’ Lope Hashim, Bagan Datuk, pada Isnin. Foto ANIQ NABILAFIQ ANUAR, 20 JULAI 2026.

Mohamad Fariz berkata, kerajaan negeri turut menawarkan pengecualian 100 peratus denda lewat bagi cukai tanah semasa sebagai usaha menggalakkan pemilik tanah menjelaskan tunggakan mereka dalam tempoh yang ditetapkan.

Katanya, inisiatif itu bukan sahaja memberi kelegaan kepada rakyat, malah mengelakkan mereka berada dalam dilema antara kemampuan membuat bayaran dan risiko kehilangan hak milik tanah.

“Alhamdulillah, sehingga Julai ini kita telah melepasi 55 peratus kutipan dan kini bergerak untuk memastikan menjelang 30 September, sebelum pakej ini berakhir, kita dapat mencapai kutipan sekitar RM750 juta,” katanya.

Sementara itu, Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad pada majlis sama berkata, kerajaan negeri akan terus memperkemas sistem penyampaian perkhidmatan dan pentadbiran tanah agar urusan rakyat dapat diselesaikan dengan lebih cekap.

Beliau berkata, ia termasuk menerusi Pakej Prihatin Rakyat 2026 yang menawarkan pengecualian denda lewat cukai tanah, pelanjutan tempoh bayaran Notis 5A dan 7G serta diskaun bagi urusan carian dan salinan hak milik secara dalam talian.

Pakej Prihatin Rakyat 2026 menawarkan lanjutan tempoh pembayaran cukai tanah sehingga 30 September selain pengecualian penuh denda lewat bagi cukai tanah semasa sebagai langkah membantu meringankan beban rakyat di Perak. -MG Perak

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI