IPOH – Booklet Hartanah Bumiputera Negeri Perak yang dilancarkan pada Program Aspirasi Hartanah Bumiputera akan dijadikan rujukan rasmi yang menghimpunkan maklumat berkaitan prosedur, syarat, tatacara dan aliran permohonan perumahan.
Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, inisiatif berkenaan menggariskan beberapa pembaharuan penting dalam pengurusan hartanah Bumiputera sebagai sebahagian daripada usaha memperkukuh tadbir urus, meningkatkan kecekapan sistem penyampaian kerajaan.
“Ia merangkumi penambahbaikan dasar, pemerkasaan penggunaan data, pendigitalan sistem penyampaian serta penyelarasan prosedur bagi menjadikan pengurusan hartanah Bumiputera di Negeri Perak lebih cekap, telus dan responsif.
“Antaranya ialah penguatkuasaan Prosedur Penetapan dan Pelepasan Lot Kuota Bumiputera Negeri Perak Darul Ridzuan melalui Pekeliling Lembaga Perumahan dan Hartanah Perak (LPHP) Bilangan 2 Tahun 2026 yang telah berkuat kuasa mulai 1 Jun 2026,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas hadir ke Majlis Perasmian Program Aspirasi Hartanah Bumiputera Negeri Perak 2026 di Pusat Konvensyen Casuarina@Meru, di sini, pada Rabu.
Hadir sama, Exco Perumahan dan Kerajaan Tempatan Perak, Sandrea Ng Shy Ching dan Setiausaha Kerajaan Negeri Perak, Datuk Ahmad Suaidi Abdul Rahim.
Mengulas lanjut, Saarani berkata, sebagai sebahagian daripada penambahbaikan tersebut, Kerajaan Negeri turut memperkenalkan pendekatan baharu dalam penetapan kuota Bumiputera yang kini mengambil kira komposisi penduduk berdasarkan data rasmi MyCensus 2020.

Jelas beliau, pendekatan itu membolehkan pelaksanaan dasar dibuat secara lebih bersasar mengikut realiti demografi dan keperluan setiap kawasan, sekali gus memastikan manfaatnya dapat dinikmati dengan lebih berkesan oleh golongan sasar.
“Kerajaan Negeri juga terus mengekalkan insentif diskaun Bumiputera sebanyak lima peratus bagi hartanah bernilai di bawah RM350,000 dan tujuh peratus bagi hartanah bernilai RM350,000 dan ke atas.
“Dalam masa yang sama, mekanisme pelepasan lot kuota Bumiputera turut diperkemas melalui kriteria penilaian yang lebih jelas, objektif dan seragam.
“Langkah ini bukan sahaja memperkukuh pelaksanaan dasar, malah memberikan kepastian yang lebih baik kepada pemaju tanpa menjejaskan matlamat asal untuk memperkukuh pemilikan hartanah Bumiputera,” katanya.
Saarani berkata, bagi memperkukuh tadbir urus sektor hartanah negeri, Kerajaan Negeri turut memperkenalkan Dashboard Hartanah@Perak, sebuah platform digital yang menghimpunkan data pembangunan hartanah daripada semua pihak berkuasa tempatan.
Katanya, dashboard itu membolehkan Kerajaan Negeri memantau perkembangan projek perumahan secara lebih menyeluruh, mengenal pasti isu lebih awal, merancang keperluan pembangunan sehingga tahun 2030 serta merangka dasar yang lebih tepat berdasarkan data semasa.


