LUMUT – Tanggungjawab menguruskan pokok di sepanjang rizab jalan Persekutuan terletak di bawah bidang kuasa pihak berkuasa tempatan (PBT) bukannya Jabatan Kerja Raya (JKR) atau syarikat konsesi penyelengaraan jalan.
Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Dr Ahmad Maslan berkata, perkara berkenaan termaktub di bawah Seksyen 101(b) Akta Kerajaan Tempatan 1976 (Akta 171).
“Ingin saya nyatakan di sini bahawa Seksyen 101(b) Akta Kerajaan Tempatan 1976 (Akta 171) secara jelas memperuntukkan kuasa kepada PBT untuk menanam, memangkas atau membuang pokok.
“Seksyen 101 (b) tersebut adalah terpakai untuk mana-mana pokok yang berada di kawasan PBT,” katanya pada sidang media semasa Lawatan Kerja ke Pejabat Jurutera Daerah Manjung di sini, pada Selasa.
Justeru itu, Ahmad berkata kenyataan Ahli Parlimen Bentong Young Syefura Othman menggesa JKR syarikat konsesi penyelenggaraan memperkukuh kerjasama dengan pakar bertauliah bagi melaksanakan penilaian teknikal berkala terhadap pokok matang seharusnya diajukan kepada PBT.
Katanya, kenyataan Ahli Parlimen Bentong itu dilaporkan media susulan insiden pokok tumbang yang meragut nyawa empat sekeluarga di Laluan FT68 Jalan Lama Bentong–Kuala Lumpur semalam.

“Oleh itu, kami berpandangan bahawa pihak PBT dalam kes yang terkini itu maksudnya Majlis Perbandaran Bentong (MPB) sepatutnya bertanggungjawab menanam, memangkas atau membuang pokok,” katanya.
Bagaimanapun Ahmad berkata, JKR bersama pihak konsensi sedia bekerjasama dengan semua PBT dalam meningkatkan aspek keselamatan berkaitan pokok di sepanjang jalan Persekutuan.
“Saya bukan hendak lari daripada tanggungjawab tetapi berdasarkan keputusan Mahkamah Rayuan (kes sebelum ini) serta peruntukan undang-undang tanggungjawab itu terletak di bawah PBT.
“Kami berpandangan pihak PBT yang sepatutnya bertanggungjawab menanam, memangkas atau membuang pokok termasuk pokok yang berada di rizab jalan,” katanya.
Terdahulu media melaporkan Ketua Pemuda UMNO Maran, Mohd Radzi Rahimi bersama isteri, seorang anak serta adik iparnya meninggal dunia selepas kenderaan dinaiki mereka dihempap pokok tumbang dalam kejadian berkenaan. -MG Perak


