TELUK INTAN- Taktik licik mengaburi pihak berkuasa dengan menggunakan setem cukai kastam disyaki palsu terbongkar apabila Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Perak menyita minuman keras dan bir bernilai RM313,298.80 dalam dua serbuan berasingan di Selangor dan Perak, bulan lalu.
Pengarah JKDM Perak, Mohd Nadzri Ariffin berkata, kedua-dua serbuan dilakukan anggota dan penguat kuasa Cawangan Penguatkuasaan JKDM Teluk Intan.
Menurutnya, serbuan pertama dilakukan di sebuah kedai runcit di Jalan Bunga Pekan, Banting, Selangor sekitar jam 8.45 pagi, 17 Julai lalu.
“Hasil pemeriksaan yang dijalankan, telah menemukan sejumlah minuman keras pelbagai jenama tak berkastam di dalam premis tersebut.

“Minuman keras berkenaan terdiri daripada produk berlabel ‘Malaysia Duty Not Paid’ (MDNP) yang hanya dibenarkan dijual di kawasan bebas cukai serta minuman keras yang menggunakan setem cukai disyaki palsu.
“Susulan itu, kita menyita minuman keras tersebut yang dianggarkan bernilai RM221,463.12 manakala jumlah duti dan cukai terlibat dianggarkan sebanyak RM48,277.92.
“Seorang lelaki berusia 70 tahun dipercayai pemilik premis turut ditahan bagi membantu siasatan,“ katanya pada sidang media di Dewan Sri Intan, JKDM Teluk Intan di sini hari ini.
Sementara itu, dalam serbuan berasingan sejumlah bir pelbagai jenama disyaki tak berkastam disita di sebuah rumah kediaman di Simpang, Taiping pada jam 3 petang, 20 Julai lalu.

“Pemeriksaan lanjut mendapati bir berkenaan merupakan bir import yang tidak dilekatkan dengan setem cukai kastam yang sah sebagaimana dikehendaki di bawah Perintah Kastam (Larangan Mengenai Import) 2023.
“Bir berkenaan dianggarkan bernilai RM17,131.38, manakala jumlah duti dan cukai dianggarkan sebanyak RM26,426.38,“ ujarnya.
Katanya, modus operandi yang digunakan bagi kedua-dua premis tersebut adalah dengan menjadikannya sebagai tempat penyimpanan barangan larangan sebelum barangan tersebut diedarkan untuk tujuan jualan di pasaran tempatan.
“Kedua-dua kes disiasat mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967. Jika disabitkan kesalahan, pesalah boleh dihukum di bawah peruntukan Seksyen135(1)(ν)(aa),“ jelasnya. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
Kastam Perak rampas arak RM2.8 juta


