LARUT – Yayasan Veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) bersedia memperluaskan rangkaian pusat dialisisnya melebihi sembilan cawangan sedia ada bagi memenuhi permintaan tinggi sektor perkhidmatan kesihatan itu.
Ketua Pengarah Jabatan Hal Ehwal Veteran ATM merangkap Timbalan Pengerusi Yayasan Veteran ATM, Mejar Jeneral Datuk Semaon Marjuki berkata, bagaimanapun pembukaan pusat baharu berkenaan bergantung kepada pulangan pelaburan (ROI) yang kukuh bagi memastikan kelangsungan operasi.
Menurut beliau, pembukaan sebuah pusat dialisis memerlukan modal antara RM1.5 juta hingga RM2 juta bergantung kepada keluasan premis, jumlah mesin dialisis dan keperluan kemudahan lain.
“Buat masa ini kita belum ada perancangan khusus (menambah pusat dialisis) untuk tahun depan. Memang ada hasrat untuk memperluaskan atau membuka cawangan baharu tetapi kita bergantung kepada ROI.

“Kita memerlukan ROI yang kukuh kerana untuk memulakan satu pusat, modal yang diperlukan sekurang-kurangnya antara RM1.5 juta hingga RM2 juta,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas hadir menyempurnakan Majlis Perasmian Pusat Dialisis Yayasan Veteran ATM Cawangan Batu Kurau, di sini, pada Rabu.
Mengulas lanjut, Semaon berkata, pembukaan pusat dialisis Yayasan Veteran ATM bukan sahaja memberi kemudahan rawatan kepada golongan pesara tentera, malah turut memberi manfaat kepada masyarakat setempat.
Dalam pada itu, beliau berkata seramai 2,055 veteran ATM di seluruh negara kini menjalani rawatan dialisis, termasuk di pusat dialisis Yayasan Veteran ATM serta panel lain.
Katanya, kos rawatan dialisis bagi veteran ATM ditanggung sepenuhnya oleh Jabatan Hal Ehwal Veteran (JHEV) ATM, sama ada veteran berpencen atau tidak berpencen.

“Veteran kita amat beruntung kerana semua pembayaran rawatan ini ditanggung sepenuhnya oleh Jabatan Hal Ehwal Veteran, sama ada berpencen atau tidak berpencen,” katanya.
Untuk rekod kesemua sembilan rangkaian pusat dialisis milik Yayasan Veteran ATM dikendalikan oleh anak syarikat milik penuhnya iaitu DVET Holding Sdn. Bhd.
Daripada jumlah tersebut, terdapat empat buah pusat dialisis yang beroperasi di Negeri Selangor, iaitu di Seri Kembangan, Batu Caves, Bukit Sentosa dan Batang Kali.
Selain itu, terdapat lima buah lagi pusat dialisis yang beroperasi di negeri lain, iaitu di Jempol (Negeri Sembilan) Mersing (Johor), Muadzam Shah (Pahang), Bidor serta Batu Kurau (Perak). -MG Perak


